JASIN — Dua lagi menteri daripada DAP yang masih berada dalam Jemaah Menteri perlu mengambil pendirian sama seperti Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Anthony Loke dengan meletakkan jawatan sekiranya benar-benar berpegang kepada prinsip yang sama.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan Anthony meletakkan jawatan sepatutnya menjadi contoh kepada menteri lain daripada parti berkenaan.
Katanya, tidak seharusnya wujud perbezaan pendirian dalam kalangan wakil DAP sekiranya keputusan meletakkan jawatan itu dibuat atas dasar prinsip parti.
“Memang betul beliau berprinsip, tetapi dalam masa yang sama, bagi saya, tindakan itu seolah-olah mencabar keputusan yang telah dibuat.
“Kalau beliau boleh meletakkan jawatan, menteri-menteri lain juga sepatutnya mempunyai prinsip yang sama, iaitu meletakkan jawatan.
“Ada dua lagi menteri penuh daripada pihak mereka yang masih belum meletakkan jawatan. Menteri penuh mereka juga perlu meletakkan jawatan kerana perkara ini merupakan keputusan parti masing-masing yang diwakili mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan walkabout bersama calon BN bagi DUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira, di Taman Seri Chinchin, di sini, hari ini.
Diminta mengulas kenyataan pemimpin DAP dalam ceramah kempen PRN Melaka yang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melucutkan jawatan semua menteri daripada Barisan Nasional (BN) dalam Kabinet selepas pilihan raya itu, Ismail Sabri berkata perkara berkenaan terserah kepada UMNO untuk menanganinya.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mengapa gesaan supaya menteri BN dilucutkan jawatan turut disuarakan sedangkan DAP sendiri masih mempunyai menteri yang belum meletakkan jawatan.
“Tetapi daripada pihak DAP, sepatutnya tidak ada perbezaan dari segi pendirian,” katanya.



