Tabika, Taska Perpaduan terima peruntukan RM55.5 juta

Oleh Zihan Zari

SEPANG – Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan terus diberikan tumpuan oleh Kerajaan MADANI dengan peruntukan sebanyak RM55.5 juta bagi sesi tahun 2026, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Haslina Abdul Hamid.

Perkara tersebut diumumkan oleh Haslina yang mewakili Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, ketika menyempurnakan Program Santuni Murid Tabika Perpaduan Kembali Ke Tabika Perpaduan Sesi Tahun 2026 di Tabika Perpaduan Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini pada Isnin.

Haslina berkata peruntukan yang disalurkan itu bertujuan untuk menyediakan sokongan dan bantuan kepada murid Tabika Perpaduan dan kanak-kanak Taska Perpaduan di samping memupuk minat dan motivasi pembelajaran serta membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan murid-murid dalam memulakan sesi persekolahan.

Menurut beliau peruntukan ini meliputi bantuan makanan tambahan, geran per kapita , insurans, starter kit, peralatan, pengajaran, pembelajaran, dan keselamatan merangkumi Tabika Perpaduan Kondusif (pembaikan), Program Pengukuhan Profesionalisme Guru Tabika Perpaduan dan Pendidik Taska Perpaduan, dan Program Generasi Cilik Perpaduan.

Menurutnya lagi, kerajaan komited menyediakan starter kit secara percuma kepada murid Tabika Perpaduan iaitu Baju Seragam dan Beg Galas serta kanak -kanak Taska Perpaduan iaitu Baju Seragam, Beg Galas, Selimut dan Tuala.

Pada masa yang sama beliau berkata penyertaan murid Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan pada hari pertama sesi tahun 2026 adalah seramai 33,307 murid (4 hingga 6 tahun) berdaftar di 1,781 Tabika Perpaduan dan seramai 998 kanak-kanak (2 hingga 4 tahun) berdaftar di 41 Taska Perpaduan seluruh negara.

Katanya, Taska dan Tabika Perpaduan merupakan antara pusat pendidikan awal kanak-kanak dalam negara yang menyediakan perkhidmatan percuma tanpa sebarang bayaran.

“Tabika Perpaduan akan melaksanakan Kurikulum Prasekolah yang baharu bermula tahun ini dengan menerapkan nilai perpaduan, hormat dan kasih sayang sejak di awal usia selari dengan fokus kementerian iaitu pembinaan Negara Bangsa yang bermatlamat membentuk generasi muda yang berjiwa patriotik, sekaligus memperkasakan murid-murid ini sebagai ejen perubahan sosial, ”katanya lagi.

Ujarnya, modul-modul khas seperti modul Rukun Negara dan Bahasa Ketiga (Tamil, Mandarin, Iban dan Kadazan) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) juga akan disejajarkan dalam pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 sebagai bahan sokongan yang memperkukuh proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

“Penggunaan teknologi dalam pelaksanaan modul-modul ini turut membuka ruang integrasi, membolehkan murid belajar secara interaktif dan menarik, sejajar dengan pendekatan pembelajaran abad ke-21, ”ujarnya lagi.

Tambahnya, semua guru Tabika Perpaduan telah mengikuti latihan secara menyeluruh bersama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan pelaksanaan kurikulum ini dapat dilaksanakan secara berkesan, berkualiti dan selari dengan keperluan pembangunan murid.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat