KUALA LUMPUR,— Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bersidang malam ini merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis, yang berkenan melantik YAB Tuan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar Perlis serta pelantikan empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang baharu.
Mesyuarat yang dipengerusikan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin itu turut menegaskan komitmen parti untuk terus menjunjung titah dan nasihat Raja Perlis dalam usaha membangunkan negeri berkenaan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Perlis.
MPT turut mendengar penjelasan YAB Tuan Abu Bakar Hamzah berhubung krisis politik di Negeri Perlis yang telah berlarutan sekian lama. MPT menyatakan kepuasan terhadap penjelasan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Perlis itu serta melahirkan rasa kesal terhadap dakwaan dan fitnah yang dilemparkan kononnya BERSATU mengkhianati persefahaman dalam Perikatan Nasional.
BERSATU menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam krisis kepimpinan di Negeri Perlis dan menegaskan parti kekal komited untuk memelihara kerjasama serta keharmonian dalam Perikatan Nasional di peringkat negeri dan nasional.
Sehubungan itu, MPT menasihati Menteri Besar Perlis dan Badan Pimpinan Negeri agar terus mengutamakan perpaduan, kestabilan serta kerjasama berhemah dalam gabungan Perikatan Nasional demi kepentingan rakyat.
Dalam mesyuarat sama, MPT turut mengambil maklum pengumuman Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengenai peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Perikatan Nasional. MPT menghormati keputusan tersebut dan menyatakan pendirian untuk mempertahankan keputusan yang dibuat berlandaskan prinsip dan tanggungjawab.
MPT turut membincangkan secara mendalam hala tuju Perikatan Nasional dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16, termasuk komitmen untuk mengemukakan dasar yang sederhana, progresif dan berpaksikan keperluan rakyat.
Pada masa sama, MPT menegaskan pendirian BERSATU untuk kekal sebagai rakan gabungan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam Perikatan Nasional, demi memastikan kestabilan politik serta memperkukuh kekuatan gabungan tersebut.
Akhir sekali, MPT menyambut nasihat Presiden supaya seluruh ahli BERSATU kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati, serta menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan secara matang, berhemah dan tertutup demi kepentingan parti.



