KUALA LUMPUR – Bersatu sepatutnya menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) dan bukannya cuba melemahkan gabungan itu menerusi pelbagai tindakan.
Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas persoalan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, berhubung rancangan PN untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap partinya, Tuan Ibrahim berkata, jawapannya sudah terkandung dalam kenyataan Muhyiddin sendiri.
Beliau berkata, Bersatu tidak sepatutnya cuba membubarkan PN, sedangkan pada masa sama melahirkan rasa sedih terhadap keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran gabungan itu.
“Dalam kenyataan itu sudah ada jawapannya. Bersatu tidak perlu berusaha untuk membubarkan PN atau melakukan pelbagai tindakan menyerang gabungan itu.
“Adalah lebih baik Bersatu menarik diri daripada PN. Mereka yang membuat aduan kepada RoS, tetapi sekarang mereka pula bersedih apabila RoS membatalkan pendaftaran PN,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian lapor Harian Metro di Kelantan.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, perkara itu diserahkan kepada Majlis Tertinggi PN untuk diteliti dan memutuskan tindakan sewajarnya.
Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan bahawa gabungan itu akan memulakan prosiding tatatertib terhadap Bersatu berhubung tindakan yang didakwa bertentangan dengan kepentingan PN.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada Ahad, dengan Bersatu akan diberikan tempoh yang mencukupi untuk menjawab pertuduhan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Malam tadi, Muhyiddin mempersoalkan asas bagi kemungkinan tindakan tatatertib terhadap partinya oleh PN, sambil menegaskan bahawa Bersatu tidak melakukan sebarang kesalahan.
Beliau berkata, Bersatu masih belum menerima sebarang surat daripada PN berhubung perkara itu.
Pertikaian antara dua parti komponen utama gabungan itu semakin memuncak selepas RoS membatalkan pendaftaran PN susulan aduan Bersatu berhubung pengecualian parti itu daripada menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu, sekali gus membolehkan PN meneruskan aktivitinya sementara prosiding undang-undang mengenainya berlangsung.


