KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperbetul dakwaan kerajaan zalim kononnya tidak menyalurkan peruntukan kepada Parlimen yang diwakili pembangkang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, peruntukan disalurkan melalui Parlimen bukannya melalui Ahli Parlimen itu yang membezakannya.
“Soalnya, mengapa tidak disalur kepada Parlimen? Saya jawab tadi soalan Parlimen, disalur ke Parlimen. Wang yang diperuntukkan tadi, yang diperuntukkan untuk Parlimen Besut, itu untuk Parlimen Besut. Siapa yang tentukan projek Parlimen Besut? Itu dari Besut dan kelulusan negeri dan kementerian-kementerian berkenaan dan jumlahnya bukan kecil sebenarnya disebutkan.
“Yang dibangkitkan ialah mengapa tidak melalui Ahli Parlimen? Itu beza. Yang kita beri kepada Ahli Parlimen, seperti mana yang berlaku di antara saya dulu sebagai Ketua Pembangkang dan kerajaan yang juga disertai oleh Yang Berhormat itu adalah dengan persetujuan bekas Perdana Menteri, Bera dan kita tandatangani apa yang disebut CSA.
“Dan setelah tandatangani, proses dijalankan walaupun tidak sepenuhnya, tidak apalah, semua dijalankan. Tetapi peruntukan berbeda daripada tanggapan. Kami dianaktirikan. Kami mana?
“Rakyat tidak dianaktirikan, kawasan tidak dianaktirikan. Apakah mesti projek itu mesti melalui Parlimen? Tidak. Dalam kawasan parti-parti kerajaan pun tidak diberi kepada Ahli Parlimen. Ahli Parlimen mengesahkan projek itu. Dana untuk pembangunan tidak diberi kepada Ahli Parlimen.
“Jadi soalnya, kalau nak kita dah minta menemui TPM II yang diberikan mandat untuk berbincang. Ada tandatangani, saya luluskan dan saya beritahu di sini, bila Arau bantah dulu, saya kata kalau sign hari ini, esok dia luluskan. Dah tidak mahu runding, itu bukan masalah saya.
“Ahli-ahli Yang Berhormat termasuk Kota Bharu dulu pun dalam jawatankuasa, kalau tak salah saya dalam jawatankuasa rundingan itu. Jadi, kita gunakan format yang sama. Tidak payah pinda satu perkataan pun. Jadi, itu yang dikatakan dalam peraturan.
“Jadi, mengandaikan bahawa tidak ada kelulusan dari segi peruntukan, saya tidak setuju kerana peruntukan untuk rakyat disampaikan. Apakah sekolah daif? Apakah sekolah agama? Apakah jalan kecil? Membaiki masjid, itu semua diluluskan,” jelasnya semasa sesi PMQT di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan daripada Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh [PN-Besut] yang bertanya, adakah Kerajaan Madani berhasrat untuk menggubal Akta Peruntukan Sama Rata dan menunaikan manifesto PH sendiri sebelum PRU akan datang?
Justeru Anwar menegaskan, tiada istilah zalim dalam amalan Kerajaan Madani kini.
Ini saya nak tegaskan. Sebab itu saya selalu suka bandingkan dengan 2022. Peningkatan itu besar. Dari RM6 bilion kepada RM8.2 bilion.
“Ini diskriminasi apa? Apa ini banyak disebut zalim.
“Zalim apa ni? Satu kawasan yang 100 peratus sokongan pembangkang, kita tambah RM2.2 bilion. Ini memang luar biasa zalimnya,” bidas Anwar.



