Ismail Lasim sangkal akan lepas jawatan MB, dapat sokongan penuh 24 Adun kerajaan

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim menyanggah khabar angin bahawa beliau akan melepaskan jawatannya sebaliknya menegaskan masih mendapat sokongan penuh daripada 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan yang lain.

Ismail berkata, tumpuannya ketika ini adalah untuk memastikan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 dapat dibentangkan pada 27 November ini.

“Itu semua khabar angin sahaja. Memang banyak khabar angin yang tersebar tetapi saya mendapat sokongan penuh Adun kerajaan.

“Belanjawan ini penting. Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya kita dapat membentangkan dan meluluskannya dengan jayanya,” katanya menurut Utusan di Seremban.

Menurut Ismail, persiapan belanjawan kini berada di peringkat akhir dengan kerjasama penjawat awam negeri, khususnya ketua-ketua jabatan.

Katanya, barisan pentadbiran negeri akan mengadakan satu lagi pertemuan untuk memuktamadkan belanjawan berkenaan.

“Kami sudah mempunyai peruntukan yang mencukupi dan kini menunggu perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk meneruskannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail menafikan dakwaan bahawa beliau merancang menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan minggu ini.

“Dari mana kamu dengar perkara itu? Buat masa ini, tiada perancangan untuk berbuat demikian,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dalam masa terdekat, beliau berkata, sebarang keputusan berkemungkinan akan menunggu keputusan mahkamah berhubung kesahihan pembatalan pelantikan 10 bekas Exco negeri.

“Buat masa ini, kita sudah membawa perkara itu ke mahkamah, jadi kita tunggu proses mahkamah. Mungkin ada perbincangan, tetapi saya tidak pasti. Kita lihat bagaimana keadaan seterusnya,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat