Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius sebarang aktiviti penyembelihan yang tidak mematuhi hukum syarak. Pematuhan terhadap hukum syarak dalam proses penyembelihan merupakan perkara asas yang tidak boleh dipandang ringan, kata Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Dr. Sirajuddin berkata demikian susulan video aktiviti penyembelihan ayam yang menimbulkan persoal penularanan berhubung pematuhan terhadap hukum syarak.
Beliau berkata, tindakan risikan awal dan pemeriksaan di lokasi telah dilaksanakan oleh JAKIM bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Penemuan awal mendapati premis yang menjalankan aktiviti penyembelihan ayam seperti dalam video berkenaan didaftarkan atas nama entiti lain dan bukan milik Bhuiyen Sdn. Bhd.
“Walau bagaimanapun, bekalan ayam hidup bagi aktiviti tersebut diperoleh daripada Bhuiyen Sdn. Bhd.
“Semakan mendapati premis dan produk ayam yang disembelih oleh syarikat berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada JAKIM mahupun pihak berkuasa agama Islam negeri, ”katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, pemeriksaan turut mendapati premis berkenaan telah diarahkan tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak 10 Oktober lalu susulan pelanggaran aspek kesihatan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2026.
“JAKIM turut mengemukakan permohonan kepada DBKL bagi mendapatkan pengesahan berhubung status lesen premis dan entiti yang menjalankan aktiviti pemprosesan ayam tersebut bagi melengkapkan penelitian serta tindakan susulan oleh pihak berkuasa berkaitan, ”ujarnya.
Ujarnya lagi, sebarang pelanggaran yang dikenal pasti akan ditangani melalui tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa pihak berkuasa berkaitan.
“JAKIM akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi memperkukuh pemantauan dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap sebarang pelanggaran yang dikenal pasti, ”tambahnya. – SUARA.TV



