Sekarang saya faham mengapa Arab Saudi wahabi – Tere Liye

KUALA LUMPUR, — Penulis terkenal Indonesia, Tere Liye, menyatakan beliau kini memahami mengapa pendekatan yang sering dilabel sebagai “Wahabi” dianggap penting di Arab Saudi, apabila melihat penyelewengan agama Islam yang berlaku di Indonesia.

Pandangan itu dizahirkan susulan insiden ritual berunsur syirik yang tular baru-baru ini, dengan Tere Liye turut memuat naik gambar berkaitan sebagai rujukan kepada isu yang ditegurnya, khususnya dalam usaha mengekang amalan mistik, pemujaan simbol dan penyelewengan akidah di tempat-tempat suci.

Insiden yang dimaksudkan merujuk kepada rakaman tular sekumpulan individu beragama Islam melakukan zikir dan ritual tertentu di kawasan Candi Prambanan, sebuah tapak warisan dunia dan rumah ibadat agama Hindu.

Dalam penjelasan yang dibuat selepas video tersebut tersebar, individu terlibat mendakwa tujuan mereka adalah untuk “melepaskan kutukan”, sekali gus mencetuskan kritikan keras kerana mencampur-adukkan amalan ibadah Islam dengan kepercayaan mistik, selain mencetuskan sensitiviti antara agama dan mencemarkan fungsi tapak warisan berkenaan.

Dalam satu komen panjang yang dikongsikan di media sosial, Tere Liye menegaskan bahawa dirinya bukan Wahabi, bukan simpatisan dan bukan peminat aliran tersebut.

Namun menurutnya, realiti di tanah kelahiran Nabi Muhammad SAW menuntut satu pendekatan yang tegas bagi mengelakkan agama dicemari kepercayaan karut yang mengaitkan kesucian dengan objek, lokasi atau simbol tertentu.

Beliau menjelaskan, jika ruang dibiarkan kepada kelompok yang gemar “mengarang” unsur mistik seperti mendakwa bekas tapak kaki, batu, lorong atau tempat tertentu mempunyai kuasa sakti keadaan itu boleh membawa kepada pengulangan sejarah gelap pemujaan berhala.

Tanpa kawalan dan pendidikan akidah yang jelas, katanya, tempat-tempat suci berisiko diselebungi amalan yang merosakkan tauhid.

Mengulas konteks Indonesia, beliau menyifatkan fenomena individu yang mendakwa berhubung dengan para nabi, mengaku memiliki kuasa luar biasa atau mampu “mengatur Tuhan” sebagai berpunca daripada literasi agama yang rendah.

Lebih membimbangkan, katanya, dakwaan sedemikian sering mendapat sokongan pengikut yang ramai.

Beliau turut menegaskan bahawa Islam sebenarnya sangat sederhana dan tidak memerlukan ritual pelik atau unsur mistik. Pegangan kepada Rukun Iman, Rukun Islam dan Ihsan, menurutnya, sudah memadai, ditambah dengan akhlak mulia serta manfaat kepada orang lain.

“Malah, orang biasa yang berakhlak baik dan bermanfaat disifatkannya lebih mulia daripada mereka yang menampilkan diri sebagai tokoh agama tetapi mempromosikan kepercayaan menyimpang.”

Kenyataan itu dilihat selari dengan kebimbangan banyak pihak terhadap kecenderungan mencampur-adukkan agama dengan kepercayaan karut, khususnya apabila ia dilakukan di lokasi sensitif dan tapak ibadat agama lain.

Tere Liye mengakhiri tulisannya dengan menyeru masyarakat agar tidak jemu mendidik dan menolak amalan yang mencemarkan agama, walaupun berdepan keletihan melihat kesilapan yang berulang dan terus mendapat sokongan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat