Oleh Zihan Zari
LANGKAWI – Balai Seni Negara Cawangan Langkawi telah menganjurkan Program Sebab Boleh: Nat Ubah Suai, sebuah inisiatif berkonsep komuniti yang menampilkan pameran interaktif di Maha Tower, dekat sini baru-baru ini.
Balai Seni Negara dalam satu kenyataan berkata, program yang berlangsung selama dua hari ini mengetengahkan konsep ‘Do-It-Yourself (DIY)’ sebagai medium eksplorasi kreativiti dan perkongsian idea secara terbuka, inklusif dan inovatif.
Program ini dimulakan dengan sesi walkabout oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot membuat tinjauan pameran serta berinteraksi dengan penggiat seni dan agensi-agensi tempatan.
Beliau telah menyempurnakan perasmiannya di Balai Seni Negara Cawangan Langkawi, secara serentak dengan Program Langkawi International Marble Art Camp 2025 (LAIN MACAM 2025)
Turut hadir, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad, pegawai-pegawai kanan MOTAC, wakil jabatan dan agensi, rakan kerjasama, serta para penggiat seni.
“Program Sebab Boleh: Nat Ubah Suai merupakan kerjasama bersama Maha Tower memberi tumpuan kepada budaya ubah suai merentas pelbagai disiplin, merangkumi mainan, fesyen, seni jalanan, automotif, kraf serta teknologi buatan sendiri.
“Program ini menawarkan sebanyak 15 reruai pameran dan jualan, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian pendekatan kreatif dalam ekosistem seni ubah suai tempatan.
“Berbeza daripada konsep pasar konvensional, program ini bukan sekadar platform jual beli,
malah turut menampilkan demonstrasi secara langsung, bengkel mini serta interaksi dua hala
antara pengunjung dan penggiat seni, ”menurut kenyataan itu.
“Seramai 15 penggiat seni daripada pelbagai disiplin terlibat secara langsung, menjadikan pengalaman ini lebih menarik, sekali gus
menyemarakkan semangat ‘bikin sendiri’ dan memupuk perkongsian ilmu dalam komuniti
kreatif.
“Antaranya, Muhammad Imran Qusyairi (Koyak Project Upcycle) yang menghasilkan jahitan beg daripada gegantung serta kain rentang terpakai; Mohd Syakir Shaiful Bahri (Muay Universal Studio) dengan penghasilan seni grafiti pada kasut; Suraizam Saad (Sue’s Collection Langkawi) yang menampilkan cetakan fabrik eco print berasaskan dedaun semula jadi; Syamel Saaidin (Mafia Corsa Speed) melalui pengubahsuaian mainan Tamiya; Wiwik Iswandari Sudirman dengan penghasilan produk serta aksesori daripada bahan kitar semula; serta Fariz Fahmi Daud.
“Selain itu, Razzatul Fatrah Mohd Hamdan (Artkak Tumbler) yang menghasilkan corak tumbler menggunakan teknik akrilik; Sofeea Md. Zulfadzli (Aneeka Studio) dengan penghasilan aksesori cincin daripada sudu; Abdul Razak Razali menghasilkan lukisan kartun potret secara langsung; Liew Chung Heng (Lasprecious) dengan penghasilan produk resin; Mohd Fadzil Mohd Lazim (Anjung Nilam Sari) yang menampilkan kraf tradisional seperti tanjak dan hulu keris; serta Zulfikri Mohd Haron (RBT Guru) mempamerkan produk elektronik, ”katanya.
“Di samping itu, Muhammad Farhan Hussain (Gunplaterminal) yang mengetengahkan mainan Gundam; Rosnah Johar (DRL Leather Custom) melalui demonstrasi penghasilan produk kulit; serta Aizzy Elektronik yang menampilkan inovasi serta pelbagai produk elektronik dan mainan.
“Kepelbagaian latar belakang penggiat seni ini jelas mencerminkan kekayaan idea, tahap kreativiti yang tinggi serta potensi besar ekosistem seni ubah suai tempatan, ”katanya lagi.
“Penganjuran program ini turut dimeriahkan dengan penyertaan pengusaha makanan dan
minuman tempatan seperti Kopi Halaman, Ritz Baker, Elbiyana Abu Bakar, BurnBakar
Kitchen dan Liza’s Juice.
“Turut dianjurkan dua program sokongan untuk orang ramai iaitu Bengkel Seni Grafiti ‘Sebab Boleh’ yang dikendalikan oleh Abdul Qoyyum Mohd Nadzri, serta Bengkel Seni Ubah Suai Tamiya oleh Syamsul Khaire Muda,”ujarnya.
Ujarnya lagi, Melalui bengkel ini, para peserta didedahkan kepada teknik penghasilan dan pengubahsuaian secara kreatif melalui pendekatan yang tersusun dan praktikal.
“Penganjuran Program Sebab Boleh: Nat Ubah Suai ini mencerminkan komitmen berterusan
Balai Seni Negara Cawangan Langkawi dalam memperkasa seni visual kontemporari, seni
berteraskan komuniti serta budaya kreatif secara meluas.
“Program ini bukan sahaja menyediakan platform bagi penggiat seni tempatan untuk berkarya dan berkongsi idea, malah
turut membuka ruang bagi orang ramai untuk menghayati, menyertai aktiviti secara interaktif, serta memupuk semangat kreativiti dan inovasi, seterusnya membentuk masyarakat yang menghargai seni,”tambahnya. – SUARA.TV



