Siasatan dalaman ATM atas salah laku tentera didakwa tak ke mana – A Kadir

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Datuk A. Kadir Jasin menyifatkan arahan Kementerian Pertahanan (MINDEF) supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyiasat perbuatan sumbang adalah anggota tentera sebagai tidak berkesan, sebaliknya siasatan wajar dijalankan oleh badan bebas.

Tokoh wartawan itu mengingatkan, salah guna kuasa, rasuah dan ketidakdisiplinan dalam Kementerian Pertahanan ini, ia bukanlah perkara baru.

“Yang didakwa bawa masuk orang awam (perempuan?) ke mes tentera adalah anggota tentera. Yang didakwa melakukan perbuatan sumbang adalah anggota tentera. Yang diarah buat siasatan adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Yang mengarah adalah Kementerian Pertahanan.

“Menteri Pertahanan jaga Ketua Turus Angkatan Tentera, Ketua Turus Angkatan Tentera jaga anggota tentera. Benda tidak elok berlaku libatkan anggota ATM. Orang nombor satunya adalah Menteri Pertahanan dengan diikuti oleh Ketua Turus Angkatan Tentera dan pegawai-pegawai atasannya.

“Jadi bolehkah orang dalam rantaian perintah (chain of command) diharap menyiasat apa yang mereka sendiri gagal awasi dan cegah? Atau, silap-silap, mereka pun tumpang sekaki!

“Dalam tentera, unsur “stealth” (penuh kerahsiaan) adalah sangat utama supaya tidak dikesan musuh. Tetapi apabila perbuatan salah guna kuasa berlaku secara terbuka dan melibatkan berpuluh-puluh kontraktor dan orang awam, jelaslah kerahsiaan dan integriti ATM telah terkorban (compromised),” katanya.

Menurut A Kadir, selagi kartel, sindiket dan kabal (pakatan jahat) wujud dalam kerajaan, selagi itulah penghapusan rasuah dan pendisiplinan birokrasi kekal sebagai janji kosong.

“Tuduhan salah guna kuasa melibatkan kepimpinan tertinggi ATM yang diuar-uarkan sekarang dilaporkan berlaku antara 2023 dan 2025 – Zaman Kerajaan Madani di mana Perdana Menterinya, Anwar Ibrahim, menjadikan pembanterasan rasuah sebagai “crusade”.

“Maaflah kalau saya kata, arahan Kementerian Pertahanan kepada ATM, yang dibuat melalui kenyataan akhbar oleh Unit Komunikasi Strategik, adalah “flimsy”. Mana Menteri Pertahanan (Mohamed Khaled Nordin)?

“Siasatan dalaman oleh jabatan sendiri, seperti yang diarahkan itu, selalunya tidak membawa ke mana-mana. Habis-habis sangat “tidakan disiplin” ala kadar (slap on the wrist).

“Melainkanlah siasatan dilakukan oleh badan bebas seperti Ombudsman yang sedang dicadangkan. Menurut peta (roadmap) Reformasi Institutusi, Rang Undang-Undang Ombudsman diringkaskan sebagai landasan penubuhan sebuah agensi bebas bagi memperkukuh tadbir urus kerajaan, mengurangkan karenah birokrasi, memastikan semak dan imbang, serta meningkatkan kepercayaan rakyat dengan mengurus aduan berkaitan salah tadbir, salah laku, dan isu kebebasan maklumat secara cekap dan menyeluruh.

“Ia bertujuan menjadi saluran aduan pusat yang memudahkan orang awam, melindungi pemberi maklumat, dan membina integriti sektor awam,” ujar beliau.

Katanya, berbalik kepada salah guna kuasa, rasuah dan ketidakdisiplinan dalam Kementerian Pertahanan ini, ia bukanlah perkara baru.

“Kalau kerajaan dulu dan sekarang benar-benar hendak banteras salah guna kuasa dan rasuah dalam kementerian itu, bertruk-truk pelaku, daripada yang kecil kepada raksasa, sudah diangkut ke penjara.

“Tetapi lebih banyak cakap daripada tindakan. Maka jadilah walhasil balik asal, itu pasal tak hasil. Pi mai, pi mai dok tang tu,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat