64 murid SJK(T) Chettiars teroka bidang STEM bina kereta kimia

Oleh Zihan Zari

IPOH – Seramai 64 orang murid Tahun Lima SJK(T) Chettiars, berpeluang meneroka aplikasi sains secara kreatif menerusi pembinaan dan pertandingan kereta kimia dalam Program STI 100³ 2026: Chemical Car Challenge di Politeknik Ungku Omar (PUO), dekat sini baru-baru ini.

Program anjuran PUO di bawah inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) itu bertujuan menyemai minat murid sekolah rendah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal (hands-on).

Murid bersama guru-guru terlibat dalam aktiviti berkenaan telah dibahagikan kepada 30 kumpulan, dan diberi peluang membina kereta kimia serta menguji hasil ciptaan masing-masing menerusi pertandingan yang menggabungkan kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah dan aplikasi prinsip sains.

Menariknya, peserta turut mendapat bimbingan secara langsung daripada pensyarah dan pelajar PUO yang bertindak sebagai fasilitator, sekali gus mewujudkan suasana pembelajaran interaktif melalui perkongsian ilmu antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti sekolah.

Dalam perkembangan sama, Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh berkata, pendedahan STEM melalui pendekatan kreatif dan menyeronokkan mampu mencetuskan rasa ingin tahu murid serta membantu mereka memahami bahawa sains bukan sekadar teori di dalam bilik darjah, sebaliknya mempunyai aplikasi dalam kehidupan seharian.

Menurut beliau, PUO komited memperluas perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada masyarakat, khususnya generasi muda, bagi melahirkan kelompok yang celik teknologi, berfikiran kreatif dan berani meneroka bidang sains serta inovasi.

Katanya, program seumpama itu diharap dapat membuka ruang kepada lebih ramai murid mengenali potensi pendidikan dan kerjaya dalam bidang STEM serta menjadikan bidang berkenaan sebagai pilihan masa depan.

Program STI 100³ 2026: Chemical Car Challenge diketuai oleh Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) PUO, Ts. Karthigeyen a/l Ramachandran selaku Pengarah Program dan Saintis.

Ia mencerminkan komitmen PUO dalam memperkasa literasi sains dan teknologi serta menyokong usaha melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, kreatif dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.

Majlis penutup program ini dihadiri oleh Pengarah Urusan Navira Meditech Sdn. Bhd., Rajasegaran Selvaduray selaku tetamu khas, serta Guru Besar SJK(T) Chettiars, Sarah Anbumalar a/p Pakianathan. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat