KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong penuh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mentadbir negara sehingga berakhir penggal ini.
Susulan hasrat itu, Amanah berpegang teguh kepada prinsip demokrasi bahawa kerajaan ditubuhkan melalui pilihan raya dan menolak sebarang cubaan menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang.
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata, Amanah beranggapan bahawa beberapa pengumuman penting oleh Perdana Menteri semalam adalah satu langkah positif bagi mengangkat kekuatan baharu Malaysia terutama berkaitan reform institusi dan polisi kebajikan serta strategik ampuh penghukuhan ekonomi bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat yang sejahtera.
“Justeru, Amanah menyeru rakyat Malaysia untuk menilai keupayaan dan komitmen Kerajaan Perpaduan hari ini dan menolak permainan sentimen perkauman yang dicanangkan pihak-pihak tertentu hari ini yang bertujuan untuk kepentingan politik semata-mata.
“Oleh demikian, Amanah menyeru semua parti gabungan Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan perpaduan di dalam gabungan ini supaya gabungan ini boleh kekal dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” tegaskan.
Pada masa yang sama, Amanah menyeru agar libat urus bersama parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan dipertingkatkan supaya polisi dan dasar baik yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan hari ini dapat dirasai oleh rakyat terutama penyokong dan ahli akar umbi.
“Amanah percaya bahawa kestabilan politik hari ini adalah kunci kepada prestasi baik ekonomi negara sepertimana pengumuman oleh Perdana Menteri,” katanya.



