KUALA LUMPUR – Istana Negeri Sembilan mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkaitan peletakan jawatan Datuk Ismail Lasim sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Pengelola Bijaya Diraja dalam kenyataan pagi Selasa, menjelaskan bahawa pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat tersebut, yang menurut Zambry sudah ditandatangani oleh Ismail.
“Di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang peletakan jawatan oleh Menteri Besar hendaklah dikemukakan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, dan hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh Ke Bawah Duli Tuanku.
“Bagaimanapun, ingin ditegaskan bahawa, pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan berkenaan,” katanya menurut BH di Seremban.
Beliau berkata, surat peletakan jawatan terbabit dihantar ke Istana Hinggap, Seremban, jam 12.16 pagi, 17 November.
Menurutnya, surat berkenaan diserahkan oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.
“Adalah dimaklumkan selanjutnya bahawa Setiausaha Sulit telah menyampaikan kepada Datuk Ismail Lasim melalui WhatsApp, pada pukul 8.38 malam, perkenan untuk beliau menghadap sebagaimana yang dipohon, dan perkara ini telah diakui terima oleh beliau.
“Sesi mengadap Tuanku Muhriz ditetapkan pada jam 10 pagi, hari Jumaat, 20 November 2026.
“Perkenan menghadap tersebut telah diberikan lebih awal 80 minit sebelum siaran Zambry di akaun Facebook beliau yang memaklumkan peletakan jawatan Ismail,” katanya.
Semalam, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menjelaskan, Ismail sudah mengutuskan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November.
Beliau berkata, Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut menerima salinan surat peletakan jawatan berkenaan.
Terdahulu, Ismail ketika ditemui media di Dewan Majlis Bandaraya Seremban memaklumkan, beliau telah mengemukakan permohonan untuk menghadap Tuanku Muhriz bagi mempersembahkan cadangan kerajaan negeri untuk mengadakan Persidangan DUN dan membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 pada 26 November ini.



