Oleh Zihan Zari
KUANTAN – Jabatan Perikanan Pahang memandang serius insiden kacau ganggu terhadap seekor penyu yang berlaku di Pantai Pendaratan Penyu Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating baru – baru ini.
Pengarahnya, Roslan Abu Hasan berkata dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 6.45 pagi, seekor penyu yang sedang naik ke pantai dipercayai untuk bertelur telah diperlakukan dengan kejam oleh tiga individu tidak dikenali.
“Jabatan telah menjalankan siasatan awal di lokasi dan membuat laporan polis di Balai Polis Cherating.
“Usaha pengesanan dan tindakan susulan sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kami amat kesal dengan perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak bertanggungjawab ini, ”katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, penyu adalah spesies yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan kejadian seperti ini mencerminkan kurangnya kesedaran dalam kalangan masyarakat terhadap kepentingan memelihara spesies marin yang semakin terancam.
Tegasnya, mana-mana individu yang didapati mengganggu, menangkap, atau memusnahkan habitat penyu boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM500 dan tidak melebihi RM20,000.
“Pemantauan berterusan sedang dijalankan di lokasi-lokasi pendaratan penyu utama seperti Pulau Tioman, Kuala Rompin, Pantai Cherating dan Tanjung Batu Nenasi di Pekan.
“Kerjasama komuniti setempat dan pengusaha pelancongan diseru agar bertanggungjawab dalam memelihara kelestarian sumber marin negeri ini.
“Laporkan segera sebarang aktiviti mencurigakan agar penyu-penyu ini terus selamat dan dapat terus mendarat di perairan kita,”katanya lagi.
Ujarnya, jabatan akan terus komited dalam usaha perlindungan penyu serta menjalankan aktiviti pendidikan dan kesedaran awam secara berterusan.- SUARA.TV



