Pembangunan bakat tempatan yang mampu menguasai dan menghasilkan inovasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) menjadi tumpuan kerjasama antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan HONOR Technology (Malaysia) Sdn Bhd menerusi penubuhan HONOR AI Lab @ UPSI.
Inisiatif itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan ahli akademik untuk mengembangkan kemahiran teknologi, menjalankan penyelidikan serta meneroka aplikasi AI yang memenuhi keperluan industri, sekali gus memperkukuh kebolehpasaran graduan dalam ekonomi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif HONOR Malaysia Ethan Chen berkata kerjasama antara industri teknologi dengan institusi pengajian tinggi penting bagi memastikan pembangunan AI turut disokong oleh bakat, pengetahuan dan keupayaan inovasi tempatan.
Beliau berkata teknologi sahaja tidak mencukupi untuk memacu kemajuan sekiranya tidak disertai pembangunan sumber manusia yang mampu memahami, mencabar dan membentuk penggunaan teknologi berkenaan pada masa hadapan.
“Melalui HONOR AI Lab, kami komited untuk membina platform yang menggalakkan pembelajaran berterusan, penyelidikan bermakna, kerjasama industri dan perkongsian ilmu.
“Masa depan AI di Malaysia bukan hanya ditentukan oleh teknologi yang diperkenalkan, tetapi juga oleh bakat yang kita bangunkan dan peluang yang kita sediakan,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian memorandum perjanjian (MoA) antara HONOR Malaysia dengan UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.
MoA itu ditandatangani Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Chen, serta disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Chen berkata HONOR melihat kerjasama berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha menyumbang kepada transformasi digital Malaysia, selain membuka ruang kepada kerjasama lebih luas antara industri teknologi dengan institusi pendidikan tinggi negara.
Menurut beliau, gabungan kepakaran teknologi HONOR dengan kecemerlangan akademik UPSI berpotensi melahirkan generasi baharu yang bukan sekadar menggunakan AI, malah berupaya meneroka potensi dan membangunkan penyelesaian inovatif berasaskan teknologi itu.
Sementara itu, Md Amin berkata HONOR AI Lab @ UPSI akan menyediakan ruang pembelajaran berasaskan pengalaman industri yang membolehkan pelajar menghubungkan pengetahuan teori dengan aplikasi sebenar.
Beliau berkata makmal itu juga akan menjadi platform kepada pensyarah dan penyelidik untuk memperluas aktiviti penyelidikan serta menghasilkan inovasi yang relevan dengan perkembangan ekonomi digital negara.
Menurutnya, pelajar berpeluang menyertai pembelajaran berasaskan projek, pertandingan inovasi, program mobiliti, latihan industri dan program pensijilan profesional bagi meningkatkan kompetensi teknikal serta kemahiran keusahawanan.
Pada masa sama, pensyarah UPSI akan mendapat akses kepada peralatan pengkomputeran AI, alat pembangunan dan perkakasan bagi menyokong pengajaran serta penyelidikan.
Md Amin berkata kemudahan itu turut berpotensi kukuhkan hubungan antara ahli akademik dengan pakar industri dalam meneroka perkembangan teknologi AI dan menghasilkan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Beliau berkata pendedahan praktikal itu penting bagi merapatkan jurang antara pembelajaran di bilik kuliah dengan kehendak industri, selain membantu pelajar membangunkan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja yang semakin bergantung kepada teknologi.
HONOR AI Lab @ UPSI akan ditempatkan di Perpustakaan Tuanku Bainun yang dimiliki dan diuruskan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) UPSI, menerusi perjanjian selama dua tahun.
Penubuhan makmal itu mencerminkan usaha kukuhkan kerjasama industri-akademia dalam pembangunan ekosistem AI negara, dengan penekanan terhadap pembelajaran praktikal, penyelidikan dan pembangunan bakat tempatan.



