Cyberjaya – Susulan tajuk-tajuk berita yang tular semalam mengenai “pembatalan” konsert GenKRU di Pulau Pinang, Dato’ Norman bin Abdul Halim, Presiden & CEO KRU Entertainment, tampil memberikan penjelasan terperinci bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan peminat.
Menurut Dato’ Norman, walaupun sesetengah laporan media membawa tajuk seolah-olah konsert GenKRU di Pulau Pinang telah dibatalkan, hakikatnya tiada sebarang pengumuman rasmi tentang konsert tersebut pernah dibuat oleh pihak KRU. Beliau menegaskan bahawa punca kekeliruan ini datang daripada tajuk yang sensasi, sedangkan isi sebenar kenyataan lebih jelas dan tidak menimbulkan salah tafsir jika dibaca sepenuhnya.
“Kami tidak pernah melancarkan tiket atau mengumumkan konsert GenKRU di Pulau Pinang, mahupun di negeri lain. Apa yang sebenarnya berlaku ialah kami memang ada hasrat untuk membawa konsert ini ke beberapa negeri lain selepas kejayaan di Kuala Lumpur, tetapi selepas melihat kajian teknikal dan mempertimbangkan apa yang boleh kami capai, kami memutuskan untuk membatalkan hasrat itu,” jelas Dato’ Norman.
Untuk memahami keputusan ini, penting untuk melihat kembali sejarah kejayaan konsert GenKRU sebelum ini. Konsert tersebut yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, bukan sahaja menjadi salah satu persembahan paling bersejarah dalam industri muzik tanah air, malah mencatat sambutan luar biasa daripada peminat dari seluruh negara.
Konsert ini menghimpunkan semula anggota KRU selepas sekian lama tidak beraksi di pentas mega, dibarisi tenaga produksi berpengalaman dan teknologi pentas terkini. Gabungan susunan muzik bertenaga, efek visual memukau, pencahayaan kreatif, serta sistem audio bertaraf antarabangsa telah memberikan pengalaman yang luar biasa kepada ribuan penonton. Tiket habis terjual lebih awal, dan acara tersebut menerima liputan meluas media tempatan serta antarabangsa.
Dato’ Norman menyifatkan konsert di Axiata Arena sebagai momen yang sukar diulang, bukan kerana mereka tidak mahu, tetapi kerana standard teknikal, logistik, dan kualiti yang ditetapkan terlalu tinggi untuk dibawa ke semua lokasi.
“Kami percaya persembahan di Axiata Arena itu mempunyai kelasnya yang tersendiri. Ia unik, istimewa, dan menjadi memori yang ingin kami abadikan untuk semua peminat yang hadir. Mengulanginya di lokasi lain tanpa dapat mengekalkan standard yang sama hanya akan membuatkan peminat membandingkan dan mungkin kecewa,” ujarnya.
Meskipun hasrat untuk membawa jenama GenKRU ke luar Kuala Lumpur dibatalkan, Dato’ Norman tetap membawa khabar gembira buat peminat. Pihak mereka kini sedang meneliti konsep baharu untuk konsert di negeri-negeri lain menggunakan jenama berbeza, bagi memberi pengalaman segar kepada penonton.
Langkah ini diambil bagi mengelakkan perbandingan terus antara persembahan mega di Axiata Arena dengan persembahan berskala lebih kecil, sekali gus memastikan semua penonton mendapat kepuasan maksimum.
“Kami tidak mahu mengecewakan peminat. Kalau konsert GenKRU diadakan semula, ia mesti lebih besar daripada apa yang kami buat di Axiata Arena. Jadi, buat masa ini, kami akan fokus pada konsert berjenama lain untuk lokasi luar Kuala Lumpur, dan peminat boleh nantikan pengumuman rasmi nanti,” tambah Dato’ Norman.
Dato’ Norman turut mengingatkan peminat agar mendapatkan maklumat hanya daripada sumber rasmi KRU bagi mengelakkan kekeliruan. Katanya, dunia media sosial kini pantas menyebarkan maklumat, tetapi tidak semuanya tepat atau lengkap.
Kenyataan ini sekaligus menutup spekulasi tentang konsert GenKRU di Pulau Pinang yang kononnya dibatalkan, sedangkan ia sebenarnya tidak pernah diumumkan.
Dengan reputasi KRU yang telah lama membina legasi dalam industri muzik Malaysia, keputusan untuk menjaga kualiti persembahan dan mengelakkan kekecewaan peminat membuktikan komitmen mereka terhadap mutu hiburan yang tinggi.



