KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan semua pihak agar membatalkan perhimpunan yang dirancang di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.
Nasihat ini adalah bertujuan memastikan keselamatan masyarakat setempat terpelihara dan mengelakkan sebarang bentuk pertembungan tidak sihat antara kumpulan bertentangan.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya memandang serius setiap isu yang berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“PDRM turut mengambil maklum berhubung isu pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial baru-baru ini.
“Sehingga kini, sebanyak 38 laporan telah diterima di seluruh negara, termasuk 17 di Pulau Pinang dan 21 lagi di negeri-negeri lain,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Khalid berkata, siasatan turut merangkumi tindakan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan rakaman berkenaan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kertas siasatan telah dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya Pulau Pinang pada Isnin lalu dan kini sedang diteliti pihak berkaitan.
Beliau berkata, PDRM sentiasa komited melaksanakan siasatan secara telus, berintegriti dan mengikut peruntukan undang-undang demi memelihara keamanan serta keharmonian masyarakat.
“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan, sebaliknya menyalurkan maklumat sahih kepada pihak polis,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umnp Pulau Pinang Mohd Hilmi Elias mengesahkan satu perhimpunan akan diadakan di Bertam, Kepala Batas hari ini sebagai maklum balas kepada kesediaan DAP menyambut kehadiran mereka dengan pengedaran 831 helai Jalur Gemilang.
Beliau berkata, program itu yang dijadualkan pada jam 5.30 petang akan turut disertai Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh yang juga bakal disertai Ketua Armada Bersatu Hilman Idham di kedai perkakas yang sebelum ini memasang Jalur Gemilang terbalik.



