TANGKAK – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan bahawa penglibatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah satu bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya satu langkah untuk menyelamatkan negara daripada ketidakstabilan yang melanda ketika itu.
Beliau menyifatkan situasi pasca PRU15 sebagai luar biasa apabila tiada satu gabungan pun berjaya mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan. PH memperoleh 82 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula menang 73, namun kedua-duanya gagal mencapai kata sepakat dan bersaing untuk jawatan Perdana Menteri.
“Pada PRU15, PH dapat 82, PN pula menang 73 kerusi, tapi masing-masing nak jadi Perdana Menteri. Dalam diam-diam mereka curi 10 orang (Ahli Parlimen) kita,” katanya.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, nilai ringgit jatuh dan pelabur mula meninggalkan negara, UMNO mengambil pendekatan rasional dengan menyertai usaha membentuk Kerajaan Perpaduan. Menurut Mohamad, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan serius dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
“Ketika itu, kita berhadapan dengan keadaan tidak menentu, ringgit merudum manakala pelabur sudah lari. Apabila disaran membentuk Kerajaan Perpaduan, kami bermesyuarat.
“Daripada 56 ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, 54 setuju manakala dua lagi berkecuali. Selepas mesyuarat, kami menyatakan persetujuan membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH,” katanya.
Beliau juga menolak dakwaan kononnya UMNO kini bergantung kepada parti lain dalam kerajaan, dengan menegaskan bahawa UMNO masih mempunyai sekutu tradisinya seperti MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
“Jadi, kita jangan terlalu mudah terperangkap dengan individu yang bercakap mengenai UMDAP,” katanya, merujuk kepada dakwaan kononnya UMNO telah tunduk kepada DAP.
Mohamad turut menyeru ahli dan pemimpin UMNO agar menjadikan kekalahan sejak PRU14 sebagai pengajaran. Katanya, meskipun UMNO meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, prestasi parti itu dalam PRU Parlimen tetap mengecewakan.
“Kejayaan UMNO/BN di PRN Johor amat membanggakan tapi malangnya, pada PRU lalu (peringkat Parlimen) kita kecewa. Menang lebih dua pertiga di Johor dan Melaka tapi bila PRU, kita tidak seperti dijangkakan,” ujarnya.