JASIN – UMNO Bahagian Jasin secara tegas mengambil pendirian menolak sebarang rundingan dengan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan berkenaan pengagihan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Usul khas tersebut, yang dibacakan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jasin, Zulkifli Kalil, menetapkan bahawa semua 21 kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dalam PRN lalu akan terus ditandingi oleh BN tanpa kompromi atau rundingan dengan parti lain.
“Sebarang perbincangan berkaitan pembahagian kerusi terbabit tidak akan dilayan. Ini adalah muktamad,” tegas beliau di hadapan 630 perwakilan yang hadir dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin yang berlangsung di Dewan Alamanda.
Menurut Zulkifli, keputusan tersebut bukan sekadar strategi pilihan raya, tetapi juga isyarat jelas bahawa UMNO dan BN di Melaka berpegang teguh kepada mandat besar yang diterima rakyat dalam PRN terdahulu, di mana mereka memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) di Melaka harus faham bahawa UMNO dan BN negeri mengambil semangat Kerajaan Perpaduan pada peringkat pusat. Oleh itu, ‘rumah baharu’ yang kita bina bersama ini sedang utuh dan jangan dirobek-robek atau jangan diguris hati orang Melayu yang sangat setia berjuang bersama demi agama, bangsa serta tanah air.”
Beliau turut menyatakan bahawa keputusan itu dibuat berlandaskan semangat serta janji Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Bahagian UMNO Jasin, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, bahawa kerusi yang dimenangi BN tidak boleh diganggu-gugat.
Majlis tersebut turut dirasmikan oleh Ab Rauf, yang juga Ketua Menteri Melaka, dan dihadiri oleh Dr Muhamad Akmal yang kini merupakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.
Sebelum ini, wujud geseran dalam isu pengagihan kerusi selepas DAP Melaka mencadangkan strategi 14 kerusi BN + 14 PH untuk menghadapi PRN akan datang. Cadangan itu dilihat sebagai cubaan mencabar kedudukan BN sebagai parti dominan di negeri ini.
Ekoran cadangan itu, Dr Muhamad Akmal sebelum ini telah memberi amaran bahawa PH Melaka tidak sepatutnya meletakkan harapan untuk bertanding di kerusi yang dimenangi BN, kerana kedudukan BN dalam DUN ketika ini adalah kukuh dan tidak akan dikompromi.
Untuk rekod, DUN Melaka mengandungi 28 kerusi, dengan 21 dikuasai BN, lima oleh PH, dan dua lagi oleh Perikatan Nasional (PN). Tempoh penggal DUN dijangka tamat pada November 2026, menjadikan PRN dijangka berlangsung sekitar hujung tahun depan.