KUALA LUMPUR – Penyertaan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam Umno dianggap sebagai aset semak dan imbang parti Melayu itu terutama dalam isu perundangan, rasuah dan ketelusan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Puad Zarkashi mengalu-alukan penyertaan Dzulkifli ke dalam Umno.
“Umno mengalu alukan penyertaan Tan Sri Dzulkifli Ahmad bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM ke dalam Umno
“Kemasukan beliau mengikut proses biasa. Bukan rundingan orang atas. Beliau berhubung terus dengan ketua cawangn dan Ketua Bahagian. Dia masuk dari bawah. Bukan jadikan Umno sebagai transit.
“Tidak ada parmaidani merah. Tidak ada janji jawatan. Tidak ada gegak gempita. Tidak perlu ditayang atas pentas macam bekas Ketua Wanita Umno Pasir Salak dan Tan Sri Annuar Musa masuk Pas,” bidas Puad.
Bagaimanapun beliau memberitahu, tetapi sudah tentu Umno gembira dengan penyertaan beliau.
“Dia aset check and balance Umno terutama dalam isu perundangan, rasuah dan ketelusan.
“Welcome aboard Tan Sri,” ucap Puad.
Pada 14 Jun baru-baru ini, media melaporkan Dzulkifli akhirnya menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Umno. Keputusan itu diambil selepas 3 tahun anak jati Pulau Pinang terbabit berkhidmat untuk rakyat.
Dzulkifli berkata, beliau mengambil masa agak lama bagi menyertai Umno kerana mahu membuat penilaian terlebih dahulu sebelum masuk ke dalam dunia politik.
“Jadi, (kini) saya rasa sudah tiba masanya saya (sertai Umno) dan serahkan borang keahlian saya sebagai ahli Umno.
“Bagi saya, apa yang penting adalah dapat terus membantu rakyat di Tasek Gelugor ini tanpa mengira kaum atau agama,” katanya.
Terdahulu, Dzulkifli menyerahkan borang keahliannya kepada Ketua Umno Cawangan Merbau Kudong Mohd Ramli Daud dalam satu majlis ringkas di Sungai Dua.
Dalam pada itu, Dzulkifli berkata, beliau memilih Umno kerana parti berkenaan pernah menjadi dominan suatu ketika dahulu selain ingin membawa nafas baharu untuk parti milik orang Melayu.
“Dalam hal ini, Umno perlu kembali untuk menjadi payung kepada bangsa Melayu khususnya dan rakyat Malaysia,” katanya.
Katanya, beliau kini hanya menjadi ahli biasa tanpa sebarang perjanjian dengan rakyat atau pimpinan Umno sendiri.
Sebelum ini, Dzulkifli pernah memberi bayangan akan menyertai parti politik khususnya ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 2022.