Dakwaan Lim Sian See, seorang penulis media sosial yang dikenali sebagai penyokong kuat kem bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa kerajaan Madani dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan projek “Mobile Phone Data” secara senyap dengan niat untuk “mengintip rakyat” adalah sangat tidak munasabah dan cuba mewujudkan ketidaktenteraman awam.
Naratif ini bukan sahaja tidak berasaskan fakta, malah ia berpotensi menimbulkan keresahan awam terhadap usaha sah kerajaan dalam merancang pembangunan digital negara.
1. Data yang dikumpulkan bukan data peribadi
Menurut penjelasan rasmi MCMC bertarikh 7 Jun 2025, data yang dikumpulkan bukanlah data peribadi seperti log panggilan, mesej peribadi, sejarah pelayaran laman web atau sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti individu. Sebaliknya, ia merupakan data statistik agregat yang telah dinyah-identiti – iaitu data tanpa nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon atau sebarang butiran sensitif.
Seperti yang dijelaskan secara rasmj oleh MCMC, data ini digunakan bagi tujuan:
• Menilai tahap penembusan capaian internet di seluruh negara.
• Mengenal pasti corak penggunaan perkhidmatan jalur lebar dan mudah alih.
• Membantu merancang infrastruktur digital serta menyokong agenda Ekonomi Digital Malaysia.
Jika penjelasan rasmi ini tidak benar, rakyat dan Telko boleh mengambil
tindakan undang-undang.
Relaitinya negara-negara seperti Indonesia, Brazil dan negara Kesatuan Eropah turut mengguna pakai kaedah yang sama dalam usaha mereka membangunkan dasar digital nasional yang berpandukan data.
2. Data diproses oleh syarikat telekomunikasi, bukan diserahkan mentah kepada MCMC
MCMC sendiri menyatakan Telko tidak diarahkan menyerahkan data mentah pengguna kepada kerajaan.
Mereka diberikan pilihan untuk menapis dan memproses sendiri data tersebut dalam persekitaran sistem selamat milik mereka. Hanya laporan statistik yang telah dinyah-identiti akan dikongsi dengan MCMC.
Sekiranya syarikat tidak mempunyai keupayaan teknikal untuk memproses sendiri, mereka boleh menyerahkan data tersebut kepada MCMC dalam bentuk yang telah dinyah-identiti sepenuhnya.
Ini memastikan tiada sebarang unsur penyalahgunaan maklumat atau pelanggaran privasi.
Jika penjelasan MCMC tidak benar Telko wajar tampil menafikan. Jika tiada penafian maknanya penjelasan MCMC adalah benar.
3. Projek ini bukan “tiba-tiba” atau rahsia
Projek “Mobile Phone Data” telah dibincangkan sejak dua tahun lalu melalui sesi libat urus antara MCMC dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi. Ia dilaksanakan mengikut prosedur sah di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tindakan menggunakan surat rasmi dan saluran sah menunjukkan bahawa projek ini dilaksanakan secara telus dan bukan “operasi senyap” seperti yang cuba digambarkan.
4. Tiada pelanggaran privasi atau niat jahat
Fakta tetap kekal – tiada data peribadi dikumpul, tiada pengguna dipantau, dan tiada pencabulan privasi berlaku. Projek ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membina dasar digital berasaskan bukti dan realiti penggunaan semasa, bukan alat kawalan rakyat.
Sekiranya kerajaan benar-benar berniat untuk “mengintip rakyat”, sebagaimana yang cuba digambarkan, sudah tentu kaedah lain boleh digunakan tanpa perlu melibatkan pelaksanaan rasmi melalui dokumen dan peraturan sedia ada.
Naratif ketakutan dan persepsi konspirasi tidak membantu negara
Dalam era digital ini, persepsi lebih mudah tersebar berbanding fakta. Maka wujudlah kecenderungan sesetengah pihak – termasuk penulis seperti Lim Sian See – untuk memainkan isu teknikal ini sebagai “konspirasi kerajaan”.
Namun, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk menilai sesuatu isu berdasarkan fakta sahih, bukan emosi atau propaganda politik.
Pengumpulan data statistik untuk perancangan negara adalah satu amalan biasa dan sah di sisi undang-undang. Ia bukan pengintipan. Dan menuduh sebaliknya tanpa bukti hanyalah akan mengganggu usaha negara membina masa depan digital yang mapan.
Ahmad Kamal
Kuala Lumpur