CYBERJAYA – Pemuda MCA menyelar tindakan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan, yang mencadangkan agar MCA keluar daripada Kerajaan Perpaduan, dengan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai angkuh dan tidak menghormati semangat kerjasama antara parti.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong dalam kenyataan medianya hari ini menyifatkan DAP sebagai “musang berbulu ayam” yang menunjukkan sifat sebenar mereka apabila berkuasa.
“Terima kasih DAP si ‘musang berbulu ayam’ kerana telah membuka topeng dan menunjukkan wajah sebenar mereka sebagai penghasut serta pemecah-belah, semata-mata mahu menguatkan diri sendiri. Mereka semakin rakus setelah berkuasa dan pentingkan diri sendiri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang tampil membidas kenyataan Syahredzan sebelum ini.
“Kami datang dalam sebuah pasukan Barisan Nasional (BN). Maka jika mahu ‘nyah’ (usir) seorang dari keluarga kami, maka saya cabar YB Bangi untuk buat usul kepada Kerajaan Perpaduan untuk keluarkan BN semua sekali dari kerajaan ini!” petik kenyataan Akmal.
Neow turut mempersoalkan mengapa DAP dilihat begitu “terkesan” apabila MCA membangkitkan isu-isu rakyat, termasuk penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), isu MyKiosk, dan kenaikan harga tong gas LPG.
Menurut beliau, tindakan MCA menyuarakan isu-isu tersebut adalah wajar kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.
“Contohnya isu penjualan saham MAHB oleh KWSP. Terbukti benar KWSP rugi RM500 juta – RM700 juta. Jual saham dengan harga RM6, kemudian beli balik dengan harga RM11 sesaham.
“Begitu juga dengan isu MyKiosk berharga RM25 ribu seunit, sedangkan di pasaran hanya dijual serendah RM12,500 – RM16,000. Masih banyak kiosk kosong dan terbiar itu juga benar,” katanya.
Tambah Neow, isu kenaikan harga tong gas LPG juga memberi kesan langsung kepada kos operasi peniaga dan harga barang kepada pengguna.
“Kalau DAP tak mampu nak membantu rakyat, selesaikan masalah, maka pergilah balik rumah goyang kaki dan tidur. Rakyat ada MCA dan BN. Kami sentiasa mendahulukan rakyat,” tegasnya.
Neow turut memetik kenyataan Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian, yang sebelum ini menyatakan bahawa kestabilan politik di Sarawak kekal kerana DAP tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.