Remaja Panji Warisan, generasi muda harapan Malaysia dalam misi memanah bersejarah di Hungary

- Advertisement -

Kuala Lumpur, 29 Mei 2025 – Empat remaja Malaysia kini menjadi simbol harapan negara apabila terpilih mewakili tanah air dalam Kejohanan Memanah Bersejarah Dunia 2025 yang bakal berlangsung di Gyula, Hungary dari 20 hingga 26 Ogos ini. Namun, lebih daripada sekadar membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa, mereka menggalas misi lebih besar: melestarikan seni warisan dan mengukuhkan diplomasi budaya di peringkat global.

Keempat-empat pemanah muda – Muhammad Adam Mukhriz Shaipulanuar (Lelaki Cilik, bawah 14 tahun), Muhammad Hifzhuddin Zaidi (Lelaki Junior, 15-20 tahun), Aira Imani Muhammad Zulfadhli (Wanita Cilik, bawah 14 tahun), dan Dalia Asira Abdullah (Wanita Junior, 15-20 tahun) – merupakan juara dalam kategori masing-masing ketika Kejohanan Memanah Tradisional Antarabangsa yang berlangsung dengan meriah di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Acara yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan lebih 300 pemanah dari pelbagai negara termasuk Thailand, Indonesia, Filipina, Singapura, Jordan, India, dan Hong Kong. Ia menjadi saksi bagaimana warisan dan semangat belia bersatu dalam satu platform unik yang mempromosikan tradisi sambil menjalin hubungan diplomatik serantau.

Presiden HDH Archery Malaysia dan Timbalan Presiden Persatuan Memanah Tradisional Kuala Lumpur, Anuar Faiq Mat Saat berkata, penyertaan remaja dalam kejohanan ini bukan sekadar menunjukkan bakat sukan, malah mencerminkan kekuatan jati diri budaya yang perlu diteruskan dari generasi ke generasi.

“Kita sedang menyaksikan kelahiran pemimpin masa depan dalam dunia panahan warisan. Mereka bukan sahaja hebat di lapangan, tetapi juga membawa tanggungjawab besar – memastikan seni panahan tradisional Melayu tidak pupus,” ujar Anuar.

“Ini bukan sekadar tentang panahan, tetapi tentang jatidiri, disiplin dan warisan.”

Anuar turut menyatakan bahawa sukan panahan tradisional kini dilihat sebagai medium penyatuan antara budaya, pelancongan dan pendidikan. Kejohanan tersebut juga menjadi titik tolak kepada peningkatan penglibatan generasi muda dalam aktiviti warisan yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.

Turut menyinar di kejohanan ini ialah dua wakil dari ASEAN yang akan menyertai pasukan gabungan ke Hungary – Anto Hutobi dari Indonesia dan Hikmatyar Idjilani dari Filipina, pemenang kategori 18-55 tahun.

Lebih menarik, kejohanan ini turut menyaksikan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara negara-negara ASEAN di bawah naungan HDH-IAA, membentuk kerjasama jangka panjang dalam aspek latihan, pertandingan dan perwakilan serantau.

Malaysia juga mengorak langkah ke hadapan dengan merancang penerbitan rasmi buku peraturan pertandingan memanah warisan HDH-IAA dalam Bahasa Malaysia, serta usaha menterjemahkannya ke dalam bahasa utama ASEAN seperti Tagalog, Indonesia, Mandarin dan Hindi.

“Kami mahu pastikan semua pemanah di rantau ini faham peraturan yang selaras dengan piawaian antarabangsa, bukan sekadar bersaing, tetapi menghormati nilai warisan,” tambah Anuar.

Kejohanan tersebut mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), serta kedutaan asing. Pada hari pertama kejohanan, kehadiran Duta Besar Hungary ke Malaysia, Dr Petra Ponevacs-Pana memberi isyarat penting terhadap sokongan antarabangsa dalam menjayakan misi budaya ini.

Pada hari penutup, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh turut menyampaikan geran padanan sukan berjumlah RM100,000 sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap usaha memartabatkan sukan warisan negara.

“Kita mahu lihat anak-anak muda bukan sahaja cemerlang dalam sukan moden, tetapi juga berakar kuat dalam warisan bangsa,” ujar Hannah Yeoh.

Bersempena kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia telah diumumkan sebagai Pengerusi Memanah Bersejarah ASEAN. Kejayaan ini membuka jalan kepada penganjuran Kejohanan Memanah Bersejarah ASEAN HDH pertama yang bakal diadakan pada tahun 2026 di Kuala Lumpur, selari dengan Tahun Melawat Malaysia.

Kejohanan itu dijangka menjadi acara tahunan tetap dan platform utama mempromosikan pelancongan sukan warisan serantau.

Dengan semangat tema “Memanah Warisan Menyatukan ASEAN,” Malaysia kini bukan sekadar pesaing dalam sukan memanah, tetapi pemimpin yang membawa obor budaya dan identiti ke persada antarabangsa. Di tengah dunia moden yang serba pantas, empat remaja ini berdiri sebagai lambang kesinambungan – generasi baharu yang bukan sahaja memegang busur dan anak panah, tetapi amanah warisan yang tidak ternilai.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat