Oleh Ab Jalil Backer
Dalam Taklimat Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Antarabangsa dan Tempatan semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran bahawa Kepengerusian ASEAN yang disandang Malaysia tahun ini bakal menghasilkan sesuatu yang mampan dan inklusif.
Anwar memberi isyarat bahawa Kuala Lumpur akan terus memainkan peranan penting secara berunding, sambil menolak sebarang tindakan tergesa-gesa yang boleh menjerumuskan rantau ini ke dalam konflik.
Beliau turut mengulangi pendirian berkecuali strategik ASEAN, dengan menekankan penglibatan berterusan bersama semua rakan kongsinya termasuk Amerika Syarikat, China dan Kesatuan Eropah tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
Tanpa menyatakannya secara eksplisit, Anwar secara tersirat memperkukuh komitmen ASEAN terhadap Deklarasi Kuala Lumpur 1971 antara prinsip teras awal ASEAN yang menetapkan Asia Tenggara sebagai Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).
Deklarasi ini bukan sahaja mencerminkan komitmen negara-negara ASEAN untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau tanpa campur tangan kuasa luar, malah menjadi isyarat jelas kepada kuasa-kuasa besar supaya tidak menarik ASEAN ke dalam percaturan geopolitik mereka.
Semalam (21 Mei 2025), Anwar turut mengumumkan bahawa para pemimpin ASEAN secara dasarnya telah bersetuju untuk melancarkan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 pelan tindakan jangka panjang selama 20 tahun yang bertujuan memperkukuh kerjasama politik, ekonomi dan sosio-budaya di rantau ini.
Menurut beliau, pelan ini bersifat “menyeluruh”, merangkumi agenda pendigitalan serta pelbagai isu berorientasikan masa depan, sambil memastikan prasyarat keamanan dan keselamatan kekal terpelihara.
Peranan Kuala Lumpur
Terletak di pusat regional Asia Tenggara, Kuala Lumpur bukan sekadar pelengkap angka dalam naratif pembangunan ASEAN. Sejak awal lagi, ibu negara ini telah memainkan peranan penting dalam membentuk landskap politik serantau.
Pada 27 November 1971, Kuala Lumpur menjadi tuan rumah kepada pemimpin-pemimpin ASEAN untuk menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur yang pertama simbol awal kerjasama damai serantau.
Pada 2015 pula, Kuala Lumpur kembali menjadi tumpuan apabila berjaya menyatukan pemimpin ASEAN dalam melancarkan agenda pembangunan bersama selama 10 tahun, berteraskan tema ASEAN 2025: Forging Ahead Together.
Dokumen ini merangkumi empat blueprint utama:
- ASEAN Political-Security Community Blueprint 2025,
- ASEAN Economic Community Blueprint 2025, dan<
- ASEAN Socio-Cultural Community Blueprint 2025.
Kini, menjelang tamatnya pelaksanaan pelan tindakan tersebut, Kuala Lumpur sekali lagi bersedia menjadi medan penilaian untuk meneliti kejayaan serta kekurangannya.
Lebih menarik, Kuala Lumpur akan menjadi saksi kepada pengumuman komitmen baharu ASEAN yang lebih jauh ke hadapan: ASEAN 2045.
Dengan tema Our Shared Future (Masa Depan Bersama), para pemimpin ASEAN dijangka akan meluluskan pelan tindakan politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya yang baharu termasuk pelan kesalinghubungan serantau yang lebih tersusun.
Daripada Visi 2025 ke Aspirasi 2045
ASEAN 2025: Forging Ahead Together, yang diperkenalkan di Kuala Lumpur pada 2015, merupakan pelan hala tuju ke arah membina Komuniti ASEAN berasaskan tiga tonggak utama: politik-keselamatan, ekonomi, dan sosio-budaya. Dalam tempoh sedekad, pelan ini telah menjadi asas kukuh kepada perpaduan serantau, integrasi ekonomi, dan hubungan antara rakyat ASEAN.
Kini, tempohnya telah sampai ke penghujung. Negara-negara anggota ASEAN bersetuju untuk memperkenalkan dokumen baharu Visi Komuniti ASEAN 2045: Our Shared Future.
Pelancaran rasmi dijangka berlangsung dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pencetus idea strategik serantau.
Visi baharu ini menetapkan kerangka masa selama dua dekad dan mencerminkan komitmen ASEAN bukan sahaja terhadap kesinambungan dasar sedia ada, tetapi juga terhadap transformasi struktur dan pemikiran demi masa depan.
Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN Community Vision 2045 dijangka akan mengandungi:
- ASEAN Political-Security Community Blueprint 2045
- ASEAN Economic Community Blueprint 2045
- ASEAN Socio-Cultural Community Blueprint 2045
- ASEAN Connectivity Community Blueprint 2045
Dengan Kuala Lumpur menjadi lokasi pelancaran dua pelan strategik ASEAN dalam tempoh hanya 10 tahun Visi 2025 dan Visi 2045 ini mencerminkan kepercayaan berterusan rantau ini terhadap kepimpinan Malaysia.
Ia juga menggambarkan keupayaan Malaysia untuk menjadi jambatan penghubung antara negara-negara ASEAN dalam merangka penyelesaian terhadap cabaran global seperti perubahan iklim, krisis kemanusiaan, ekonomi digital, dan keselamatan serantau.
ASEAN 2045: Our Shared Future bukan sekadar dokumen ia adalah manifestasi kesepakatan dan harapan bersama. Dan Kuala Lumpur harus berbangga kerana sekali lagi diberi amanah untuk memainkan peranan utama dalam pembangunan rantau menuju masa depan yang lebih inklusif, progresif dan berpaksikan rakyat.
– SUARA.TV