KUALA LUMPUR – Tidak melatah dengan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS), Perdana Menteri tegaskan bahawa keutamaan Malaysia ketika ini adalah terhadap pembaharuan ekonomi domestik.
Selain memperluas kerjasama melalui ASEAN dan rakan utama seperti China, India, Pakistan serta memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU).
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kekal komited sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, meneruskan hubungan dengan rakan dagang tradisional seperti China dan AS, di samping meneroka pasaran baharu termasuk menjalin hubungan dagang dengan Rusia.
“Menyentuh isu tarif yang dikenakan Amerika Syarikat, saya tegaskan bahawa keutamaan Malaysia ketika ini adalah terhadap pembaharuan ekonomi domestik selain memperluas kerjasama melalui ASEAN dan rakan utama seperti China, India, Pakistan serta memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU).
“Malaysia kekal komited sebagai sebuah negara perdagangan terbuka, meneruskan hubungan dengan rakan dagang tradisional seperti China dan Amerika Syarikat, di samping meneroka pasaran baharu termasuk menjalin hubungan dagang dengan Rusia,” katanya dalam Sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa malam tadi.
Perdana Menteri juga turut mengupas situasi di Gaza, usaha memperkukuh ikatan sesama negara anggota, kepentingan ekonomi dan perdagangan serantau, serta inisiatif melonjakkan pelaburan dalam kalangan negara ASEAN antara isu utama yang akan dibincangkan dalam Pemukiman Pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
“Saya turut menekankan kepentingan projek Grid Tenaga ASEAN sebagai satu langkah besar dalam memperkukuh kerjasama tenaga di peringkat serantau.
“Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, tekad untuk terus memacu ASEAN ke hadapan sebagai sebuah kuasa serantau yang berprinsip, dengan hala tuju ekonomi yang jelas dan mampan.
“Sebelum pulang, saya berkesempatan beramah mesra dengan para pengamal media termasuk kenalan lama sambil mengimbas kembali momen-momen terdahulu serta bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa dan global,” ujar Anwar.