Rafizi serah sepenuhnya urusan subsidi petrol RON95 kepada MoF

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Kementerian Ekonomi telah menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada Kementerian Kewangan (MoF), sekali gus memberi petunjuk jelas bahawa pelaksanaannya semakin hampir direalisasikan.

Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, urusan berkaitan subsidi bersasar bahan api itu tidak lagi berada di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Keputusan berhubung subsidi bersasar RON95 telah diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan. Itu adalah keputusan Jemaah Menteri.

“Pihak Kementerian Ekonomi telah membentangkan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebanyak empat kali. Kini, kami menunggu tindakan selanjutnya daripada Kementerian Kewangan yang akan mengurus keseluruhan proses subsidi RON95 selepas ini.

“Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mereka,” katanya selepas merasmikan Persidangan Rakan Kongsi JS-SEZ: Memperkasa Pemudahcaraan.

Penyerahan tanggungjawab itu mencerminkan pendekatan berpusat di bawah Kementerian Kewangan dalam usaha menyusun semula sistem subsidi negara sebagai sebahagian daripada agenda pembaharuan fiskal yang lebih menyeluruh.

Sebelum ini, Rafizi menjelaskan pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 akan dijalankan dalam dua peringkat iaitu peringkat hadapan (‘front-end’) yang membabitkan operasi di stesen minyak, serta peringkat belakang (‘back-end’) merangkumi proses penentuan kelayakan penerima subsidi daripada golongan B85 — iaitu 85 peratus rakyat yang layak menerima manfaat itu.

Peringkat ‘back-end’ yang pada awalnya diuruskan Kementerian Ekonomi telah dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan kelulusan sebelum pelaksanaan dasar berkenaan dapat dimulakan.

Berdasarkan perbincangan awal antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 memang dirancang untuk dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan penentuan kelayakan penerima yang akan dibawa ke Jemaah Menteri bagi kelulusan muktamad, lapor BH.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa kerajaan merancang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan.

Langkah itu dijangka memberikan penjimatan sebanyak RM8 bilion kepada kerajaan, yang seterusnya akan disalurkan semula kepada program-program kebajikan demi kesejahteraan majoriti rakyat.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan bahawa 85 peratus rakyat negara ini tidak akan terjejas dengan pelaksanaan subsidi bersasar berkenaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat