CYBERJAYA, – Kejayaan Malaysia dalam merapatkan jurang digital melalui infrastruktur dan liputan rangkaian internet berkelajuan tinggi kini menjadi tonggak utama membina masa depan yang lebih adil dan inklusif.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, inisiatif JENDELA (Rangka Kerja Infrastruktur Digital Negara) dan pelaksanaan 5G telah menyediakan platform untuk inovasi dalam pendidikan dalam talian, teleperubatan, automasi industri dan kandungan kreatif tempatan.
“Sehingga akhir 2024, 9.03 juta premis telah mempunyai capaian internet berkelajuan tinggi melepasi sasaran 9 juta menjelang 2025.
Liputan internet di kawasan berpenduduk kini 98.66 peratus, dengan kelajuan median jalur lebar 105.36 Mbps. Pelaksanaan 5G pula meliputi 82.4 peratus kawasan berpenduduk, manakala penembusan mudah alih mencapai 61 peratus,” jelas beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Penyebaran Maklumat Negara (NADI) telah melatih 4,000 usahawan luar bandar 85 peratus daripadanya wanita sehingga Mac 2025.
“Kerajaan mensasarkan untuk memperluas latihan kepada 7,000 peserta tahun ini. Program e-dagang, literasi digital dan modul khusus bagi Orang Asli serta komuniti luar bandar menjadi tunjang usaha memacu ekonomi digital inklusif,” tambahnya.
Ucapan Datuk Fahmi disampaikan semasa merasmikan sambutan serentak Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2025, Girls in ICT (GICT) 2025, dan ulang tahun ke-160 Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
Beliau turut memuji penggabungan tiga acara besar itu sebagai bukti komitmen Malaysia dalam menutup jurang digital dari bandar hingga ke pedalaman, dari golongan muda hingga golongan rentan.
Selain menyemarakkan agenda digital nasional, Malaysia turut menegaskan peranannya di pentas antarabangsa melalui pledges Partner2Connect JENDELA, NADI dan KITAR (Pengurusan Sisa Elektronik).
Malaysia turut melancarkan setem kenangan khas sempena ulang tahun ke-160 ITU, merakamkan evolusi teknologi komunikasi sejak penubuhan ITU pada 17 Mei 1865.
Kejayaan negara turut diserlahkan oleh anugerah GSMA Foundry Innovation Award kepada ZTE dan pengiktirafan MCMC sebagai WSIS Prizes Winner 2023 serta Champion 2024, dengan 12 inisiatif Malaysia disenarai pendek WSIS Prizes 2025.
Hadir sama dalam majlis ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa; Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; dan ITU Area Representatives for Southeast-Asia and Other Member States in Asia and the Pacific, Encik Kishore Babu Yerraballa. – Suara.TV