Putrajaya, – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa situasi jangkitan COVID-19 di Malaysia kekal terkawal, meskipun berlaku peningkatan kes di beberapa negara jiran seperti Singapura dan Thailand, menurut laporan ASEAN Biological Threats Surveillance Centre.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, KKM memaklumkan bahawa Malaysia telah merekodkan sebanyak 11,727 kes COVID-19 dari Minggu Epidemiologi (ME) 1 hingga ME19 tahun ini (sehingga 10 Mei 2025). Kes tertinggi dicatatkan pada minggu-minggu awal tahun dengan lebih 1,200 kes seminggu, namun jumlah tersebut terus menunjukkan penurunan. Bagi ME16 hingga ME19, purata mingguan sekitar 600 kes direkodkan, iaitu masih di bawah paras ambang amaran.
COVID-19 kekal sebagai penyakit berjangkit wajib lapor di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]. Pemantauan kes dijalankan secara real time melalui sistem e-Notifikasi serta mekanisme survelan khabar angin (rumours surveillance) untuk pengesanan awal dan respons segera.
Sebarang potensi ancaman terhadap kesihatan awam akan dinilai oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), dengan tindakan pantas akan diambil sekiranya diperlukan. KKM menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan kesihatan awam terpelihara, selaras dengan nilai MADANI, khususnya aspek kesejahteraan rakyat.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan langkah pencegahan kendiri, mendapatkan rawatan segera jika bergejala, dan memastikan golongan berisiko tinggi mendapatkan vaksinasi COVID-19 bagi mengurangkan risiko komplikasi serius dan kematian.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui portal rasmi KKM di www.moh.gov.my.