CYBERJAYA, 16 Mei 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini menjalankan siasatan terhadap beberapa hantaran Facebook yang dikatakan mengandungi unsur perkauman, susulan aduan awam yang diterima berkaitan kandungan yang berpotensi menjejaskan sensitiviti masyarakat etnik di Sarawak.
Sebagai sebahagian daripada siasatan, seorang individu telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada MCMC pada Khamis, 15 Mei 2025.
Dalam proses tersebut, sebuah telefon bimbit dan satu unit kad SIM telah disita bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut kenyataan MCMC, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan serta tindakan susulan.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa bertanggungjawab dan beretika dalam memuat naik atau berkongsi kandungan di platform dalam talian. Penyebaran kandungan jelik melampau, khususnya yang menyentuh isu-isu sensitif seperti kaum, agama, dan Institusi Diraja, adalah satu kesalahan serius yang tidak akan dikompromi.
“Komitmen kami adalah untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, harmoni, dan bebas daripada hasutan yang boleh memecahbelahkan masyarakat. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelaku tanpa mengira latar belakang atau kedudukan,” tegas MCMC.