MOSCOW, – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meneruskan hari kedua lawatan rasmi ke Rusia dengan menghadiri Mesyuarat Meja Bulat bersama 24 pemain industri utama negara itu di Hotel Metropol, Moscow.
Mesyuarat itu menghimpunkan wakil syarikat dari sektor strategik termasuk makanan dan pertanian, peruncitan dan logistik, minyak dan gas, kewangan, perabot, kimia, bahan binaan serta pengurusan sisa dan membuka ruang perbincangan mengenai potensi kerjasama pelaburan dan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia.
“Dalam suasana penuh sejarah di Hotel Metropol, kami berdiskusi secara terbuka dan bermakna mengenai peluang pelaburan dan perdagangan yang bukan sahaja menguntungkan kedua-dua negara, malah dapat mencetuskan inovasi dan pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif,” kata Anwar dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi miliknya.
Hotel Metropol, lokasi mesyuarat itu, terkenal sebagai mercu sejarah sejak era pemerintahan Tsar dan pernah menjadi tempat pertemuan ramai tokoh penting dunia. Perdana Menteri turut menyentuh tentang keunikan hotel tersebut yang mengabadikan warisan sastera Rusia dengan bilik-bilik dinamakan sempena tokoh terkenal seperti Tolstoy, Turgenev dan Chekhov.
“Potret mereka mengingatkan kita bahawa kemajuan material harus berpaksikan kepada jiwa, budaya dan kemanusiaan,” tambah Anwar.
Beliau turut menegaskan bahawa dialog seperti ini akan terus meningkatkan daya saing Malaysia dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar, selaras dengan nilai-nilai MADANI yang menekankan keterbukaan, hormat dan tanggungjawab bersama.
Lawatan Perdana Menteri ke Rusia dijangka membuka peluang pelaburan strategik baharu serta mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.