KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Luar sedang menyelaras kenyataan berkait keputusan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang memutuskan Rusia bertanggungjawab atas insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil berkata, kenyataan berhubung perkara itu dijangka dikeluarkan dalam tempoh terdekat.
“Kabinet sudah meneliti kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak ICAO yang mana ia adalah berkenaan dengan penembakan pesawat MH 17 pada Julai 2014.
“Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan bahawa satu kenyataan media akan diterbitkan oleh MOT sebagai maklum balas kepada kenyataan daripada ICAO dan kita boleh jangkakan dalam masa terdekat, ada sedikit koordinasi dengan Wisma Putra,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.
ICAO kelmarin memutuskan Rusia bertanggungjawab atas insiden tembakan jatuh sebuah pesawat penerbangan Malaysia di ruang udara Ukraine pada 2014 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, menurut kenyataan kerajaan Belanda.
ICAO, sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mempunyai 193 negara anggota.
Dalam kenyataan itu, kerajaan Belanda berkata, ICAO akan mempertimbangkan bentuk pampasan yang wajar dalam beberapa minggu akan datang.
Penerbangan Malaysia Airlines MH17 berlepas dari Amsterdam menuju Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 dan ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Pada November 2022, hakim-hakim Belanda mensabitkan dua lelaki Rusia dan seorang lelaki Ukraine tanpa kehadiran mereka atas tuduhan membunuh di atas peranan mereka dalam serangan berkenaan.