KUALA LUMPUR: Kenyataan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin yang parti itu terbuka bekerjasama dengan Umno mungkin selepas menyedari telah terperangkap dalam permainan kayu tiga rakan kongsinya.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu beberapa kali sudah diulangi pemimpin Bersatu tersebut.
“Saya kira beliau mahu cari satu realiti yang baharu dengan keadaan rakan kongsi politiknya telah bermain kayu tiga.
“Saya fikir apa berlaku pada Umno (sebelum PRU15) sedang berlaku pada parti ini (Bersatu),” katanya tanpa menyebut rakan kongsi politik Bersatu dimaksudkannya.
Awal bulan ini, Hamzah menerusi program audio siar dengan bekas Menteri Undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dilaporkan berkata partinya terbuka bekerjasama dengan Umno kerana mereka berkongsi asas ideologi sama.
Seruan sama juga diulangi Hamzah pada kempen PRK DUN Ayer Kuning, bulan lalu yang menyaksikan Umno mengekalkan penguasaannya dengan majoriti lebih besar, walaupun kadar keluar mengundi kurang 60 peratus.
Zahid dalam maklum balasnya berkata, Umno tidak berminat bekerjasama semula dengan Perikatan Nasional (PN) termasuk membentuk kerajaan di Perak.
Portal FMT hari ini melaporkan kenyataan penganalisis yang Bersatu kini sedang ‘meninjau-ninjau’ sekutu politik menjelang PRU16, memandangkan wujud isyarat pemimpin parti semakin tidak senang duduk dalam gabungan PN yang diasaskannya bersama.
“Dapat dirasakan Bersatu benar-benar gelisah tentang jangka hayat perkongsiannya dengan PAS,” kata Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Petanda paling jelas dilihat baru-baru ini apabila Hamzah memberikan bayangan kemungkinan Bersatu membaiki hubungan dengan seteru khususnya Umno.