KUALA LUMPUR – Polis menahan lebih 70 pengikut pergerakan Falun Gong di Kuala Lumpur sebelum ketibaan Presiden China Xi Jinping pada bulan lalu, dalam apa yang didakwa sebagai langkah pencegahan untuk menutup mulut penentang pemimpin Parti Komunis China itu.
Memetik laporan Malaysiakini, beberapa tahanan yang hanya dibebaskan selepas Jin Ping meninggalkan Malaysia berkata mereka ditahan polis berpakaian preman ketika serbuan ke atas perjumpaan kumpulan itu di sebuah lot kedai di Cheras pada 13 April lalu.
Serbuan itu berlaku hanya dua hari sebelum Jinping tiba di Malaysia.
Max Chua, 45, antara kira-kira 47 rakyat Malaysia yang ditahan, berkata polis memberikan tiga kemungkinan alasan penahanan mereka, iaitu pertubuhan haram, pelanggaran imigresen, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA).
Namun isterinya Jane Teo, 29, yang turut ditahan dalam serbuan itu, mendakwa seorang timbalan pendakwa raya memberitahu majistret semasa permohonan reman yang mereka disiasat atas perkaitan dengan ekstremisme dan keganasan.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan tangkapan itu dan berkata ahli kumpulan tersebut disyaki terlibat dalam pertubuhan haram.
Namun, Max Chua dan Jane Teo percaya alasan itu hanyalah helah untuk menahan mereka.
“Soalan pertama yang polis tanya kami ialah: ‘Apa rancangan kamu semasa Jinping berada di sini’?'” kata Max Chua kepada portal itu.
Menurut pasangan itu, kumpulan berkenaan bukan membuat perancangan untuk sebarang protes sepanjang kehadiran Jinping tetapi berkumpul untuk sesi bacaan buku.
Max Chua berkata jumlah mereka adalah seramai 76 orang, termasuk 29 warga China dengan beberapa daripadanya adalah pemohon suaka di Malaysia.
Katanya, semua tahanan dibawa menaiki empat trak Black Maria ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.
Dia mendakwa semua tahanan warga Malaysia dibebaskan hanya sebelum tengah malam pada 17 April, beberapa jam selepas Jinping berlepas dari Malaysia.
Tahanan warga asing pula dibebaskan secara berperingkat kemudiannya, dengan sebahagian daripada mereka dikatakan ditahan lebih 14 hari.
Ada juga dakwaan kekerasan oleh polis sepanjang tempoh penahanan, termasuk melibatkan seorang wanita berusia lebih 80 tahun yang didakwa mengalami kecederaan di kepala selepas ditolak oleh seorang anggota polis.
Falun Gong ialah gerakan kerohanian yang berasal dari China pada awal 1990-an. Namun, kerajaan China mengharamkan amalannya pada tahun 1999, dengan ribuan pengikutnya ditangkap dan dipenjarakan.
Menurut laporan Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) bulan lalu, sekurang-kurangnya dalam tujuh daripada 31 lawatan Jinping ke luar negara dari 2019 hingga 2024, polis di negara tuan rumah telah menahan mereka yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman, sering kali tanpa alasan sah, bagi menghindari sebarang protes terhadap Jinping.
Aktivis dikatakan telah menjadi sasaran hanya kerana mengangkat sepanduk, memohon untuk mengadakan protes, atau mengamalkan kepercayaan yang diharamkan seperti Falun Gong — membangkitkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan kuasa polis di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ni memaklumkan Jinping menyatakan rasa puas hati dan menggambarkan lawatan tiga harinya ke Malaysia bulan lalu sebagai satu kejayaan besar.