DAP Tak Mampu Pinda Hak Melayu, Bumiputera ,Jadikan Malaysia Sekular – Asyraf

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa tidak mungkin berlaku sebarang pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak Melayu dan Bumiputera, meskipun parti DAP mempunyai kekuatan di Dewan Rakyat.

Menurutnya, dakwaan kononnya UMNO bakal membiarkan agenda perjuangan Islam dan Melayu tergadai adalah tidak berasas, memandangkan sebarang pindaan terhadap perkara berkaitan kedudukan Islam dan hak istimewa Melayu memerlukan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Apakah mungkin berlakunya pindaan Perlembagaan? Tidak mungkin kerana hendak pinda Perlembagaan mesti ada 148 (kerusi), DAP hanya ada 40. Mana mungkin untuk meminda Perlembagaan.

“Katakan DAP ada 148 sekalipun. Tidak mungkin boleh meminda Perlembagaan, membabitkan kedudukan Islam dan Melayu Bumiputera.

“Ini perkara asas yang harus kita faham supaya segala fitnah dan tohmahan, seolah-olah UMNO hari ini akan menjual negara, perjuangan Islam dan bangsanya kepada orang lain, dihentikan,” katanya menerusi siri wawancara #BongkarFitnah Islam Terancam yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Isu agenda Negara Sekular dan slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang dibawa DAP pernah mencetuskan perdebatan, apabila ada pihak dalam UMNO dan MCA sebelum ini menuntut agar DAP menggugurkan tuntutan tersebut.

Walau bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini menegaskan bahawa parti itu tidak perlu berbuat demikian kerana semua parti dalam Pakatan Harapan telah mencapai persefahaman sebelum membentuk Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Asyraf menjelaskan bahawa sebelum gabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dimeterai pada November 2022, UMNO telah menetapkan syarat-syarat tegas untuk mempertahankan agenda Islam dan Melayu.

“Kita meletakkan syarat kepada parti yang mengadakan hubungan atau hendak bekerjasama dengan UMNO dan BN iaitu antaranya Perkara 3 di dalam Perlembagaan tidak boleh sama sekali dipertikaikan.

“Begitu juga Perkara 153 yang menyebut soal kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk asal Bumiputera dan juga kedudukan serta keistimewaan Raja-Raja Melayu, pemelihara kepada Islam, Melayu dan Bahasa Melayu.

“Ini empat perkara yang dimasukkan di dalam perjanjian yang akhirnya ditandatangani semua parti yang membentu kerajaan Perpaduan iaitu sebanyak 18 parti,” ujarnya lagi.

Asyraf turut mengingatkan agar rakyat tidak mudah termakan fitnah dan naratif yang cuba memburukkan UMNO kononnya telah menggadaikan prinsip perjuangannya demi kuasa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat