CYBERJAYA — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, yang mengumumkan projek pembangunan bernilai RM6.13 juta di Tapah dalam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Pengumuman itu dibuat dalam satu program rasmi kerajaan, Program Sentuhan Kasih 3.0, yang berlangsung di Pasar Awam Tapah Road — kawasan yang termasuk dalam Parlimen Tapah dan turut menempatkan DUN Ayer Kuning yang sedang menghadapi PRK.
Menurut BERSIH, pengumuman tersebut dianggap sebagai satu bentuk penyalahgunaan jentera dan sumber kerajaan yang memberi kelebihan tidak adil kepada parti pemerintah, khususnya dalam konteks pilihan raya yang sedang berlangsung.
“Penggunaan kedudukan menteri untuk menyalurkan projek dan dana kerajaan ke kawasan yang sedang berdepan pilihan raya merupakan satu bentuk penggunaan sumber kerajaan secara tidak adil, terutama sewaktu tempoh pilihan raya,” jelas kenyataan daripada Jawatankuasa Pemandu BERSIH.
Tambah BERSIH, tingkah laku seperti ini pernah dikritik keras oleh pemimpin-pemimpin dalam Kerajaan Madani sebelum ini ketika mereka berada di bangku pembangkang.
BERSIH turut menegaskan bahawa pihaknya telah memperkenalkan garis panduan 3C kepada kerajaan yang tidak berada dalam situasi caretaker, termasuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Garis panduan ini merangkumi prinsip “No Conditions, No Campaigning, No Candidates” dalam program rasmi kerajaan semasa tempoh pilihan raya — namun pengumuman oleh Menteri KPKT jelas melanggar semangat tersebut.
“Apa yang diumumkan oleh Menteri KPKT di Tapah melanggar semangat dan tujuan garis panduan tersebut.”
Walaupun BERSIH mengakui bahawa pembangunan dan kemudahan awam adalah keperluan yang sah, mereka menegaskan pengumuman besar sebegitu ketika tempoh kempen berisiko mencetuskan persepsi pembelian undi secara halus.
“Pengumuman peruntukan ketika tempoh kempen pilihan raya bukan sahaja memberi persepsi pembelian undi secara terselindung, malah mencemarkan prinsip demokrasi yang sepatutnya menjamin persaingan politik yang adil dan bersih.”
BERSIH juga mempersoalkan corak tindakan yang berulang daripada kementerian sama dalam pilihan raya terdahulu, khususnya KPKT, yang menurut mereka telah beberapa kali menggunakan jentera kerajaan untuk tujuan kempen.
“Malangnya, ini bukan kes terpencil. BERSIH melihat siri pelanggaran berterusan terhadap etika pilihan raya yang bersih dan adil oleh Kerajaan Madani.”
Justeru, gabungan itu menekankan bahawa PRK Ayer Kuning akan menjadi ujian penting kepada integriti Kerajaan Madani terhadap reformasi politik dan amalan demokrasi tulen.
“Sekiranya budaya patronage terus dibiarkan, cita-cita membina politik baharu yang bersih dan matang akan kekal menjadi retorik semata-mata.”