Semua orang boleh dipantau bukan cuma ahli politik, tak jejas kehidupan harian pun – Menteri KDN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak berkuasa boleh melakukan tindakan memantau pergerakan sesiapa saja yang kehendaki secara rambang di negara ini bukan hanya membabitkan ahli politik saja, malah juga golongan VIP atau individu biasa.

Beliau berkata, pengawasan itu dibuat mengikut pertimbangan pihak berkuasa untuk menjalankan penguatkuasaan dan tindakan berkenaan dibenarkan mengikut undang-undang.

Bagaimanapun, kata Saifuddin sepanjang pengawasan dilakukan, individu terbabit tidak disekat pergerakan mereka untuk keluar masuk negara ini, malah kehidupan harian juga tidak terjejas sama sekali.

Saifuddin turut mendedahkan beliau sendiri pernah dikenakan tindakan sama selama hampir tiga tahun sejak 2000 ketika menjadi Adun Lunas dan tidak pernah mempersoalkan perkara itu.

“Saya sendiri ada pengalaman sama seperti dihadapi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mendakwa dirinya dipantau ‘secara menyeluruh, senyap dan berterusan’ oleh pihak berkuasa.

“Sepanjang tempoh itu, saya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas mereka. Ketika mahu keluar masuk negara, saya akan ditanya beberapa soalan, contohnya mahu ke mana dan untuk tujuan apa.

“Saya menjawab semua pertanyaan mereka dan perjalanan saya tidak pernah disekat langsung walaupun ketika itu saya di blok pembangkang, jadi ia tidak menjadi masalah pun.

“Sebenarnya, bukan dia saja yang kena pemantauan itu, sebaliknya sesiapa saja yang pihak berkuasa rasakan ada kewajaran untuk diambil tindakan sama dan saya percaya ramai yang kena tetapi tidak dijadikan isu,” lapor BH.

Media semalam melaporkan, Samsuri mendakwa dirinya dilabel dan ditanda sebagai individu di bawah status ‘Travel Control Office/Order’ (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas mendakwa situasi itu sudah berlaku sejak pertengahan tahun lalu.

Katanya, dalam sistem keselamatan negara, TCO merujuk ‘Travel Control Order’ oleh pihak berkuasa iaitu satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.

Saifudin berkata, tidak ada keperluan untuk pihak berkuasa memasang ‘spy’ bagi mengetahui pergerakan Samsuri kerana Menteri Besar Terengganu itu sendiri diawasi pegawai polis pada setiap masa bagi memastikan keselamatannya.

“Jika benar kita nak tahu pergerakan Samsuri, kita boleh dapatkannya daripada pegawai polis yang bersama dengannya sepanjang masa, tak perlu pasang spy untuk pantau ke mana dia pergi.

“Dia pun tahu semua VVIP dalam negara ini sentiasa diawasi untuk tujuan keselamatan, ia bukan sesuatu yang pelik,” katanya.

Mengulas bagaimana pihak berkuasa iaitu pegawai kawalan perjalanan (TCO) yang bertugas di pintu keluar masuk negara tahu individu itu berada dalam pemantauan, Saifuddin berkata, ada tanda tertentu pada pasport yang membolehkan mereka mengenal pasti mereka terbabit.

“Polis atau pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk negara akan bertanya soalan tertentu kepada kita kerana ‘remark’ yang ada pada sistem data elektronik pasport kita. Jika kita dikeluarkan daripada pemantauan itu, ‘remark’ berkenaan juga akan dihapuskan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat