KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Samsuri Mokhtar mungkin sengaja mencari simpati menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning.
Kata Zahid Samsuri membuat dakwaan diawasi secara rahsia dan telefonnya dipintas semata-mata kerana kedatangan PRK Ayer Kuning.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu lagi, berkata kenyataan sebenar sudah dijelaskan oleh Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, pagi tadi.
“Menteri Dalam Negeri sudah mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa tidak ada (pintasan telefon, pengawasan), jadi kenapa perkara ini perlu (timbul)?
“Mungkin dia (Samsuri) nak memohon simpati sebab (PRK) Ayer Kuning,” katanya ringkas ketika ditanya selepas majlis pelancaran Akademi Rel Pahang di Kuantan, Pahang, lapor Malaysiakini pada Jumaat.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Semalam, Samsuri yang juga Naib Presiden PAS mendakwa dia dikenakan TCO justeru talian telefon miliknya kemungkinan besar dipintas oleh pihak berkuasa.
Keadaan itu, dakwanya, menjadikan dia seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan sindiket dan gangster, atau berstatus persona non grata di tanah air sendiri.
“Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu. 100 peratus.
“Adakah saya diikuti ke mana-mana saya pergi, walaupun atas urusan peribadi? Sudah tentu. Tanpa ada keraguan,” dakwanya.
Menurut Samsuri, keadaan itu merumitkan proses keluar masuknya melalui sempadan negara, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun lalu.
TCO, tambahnya, adalah satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.
Tegas Samsuri dia kecewa dengan situasi yang dihadapi dan mendakwa ia usaha untuk mengumpul maklumat politik pihak lawan bagi mengawal dan menekan suara tertentu.
Walaupun begitu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa beliau juga dilabel di bawah Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) dalam sistem kawalan sempadan oleh pihak berkuasa.
Anwar Ibrahim berkata, kawalan tersebut turut dihadapi oleh semua orang kenamaan yang berada di negara ini.
“Saya pun ada, semua VIP pun ada,” katanya.