KUALA LUMPUR – Penangguhan pelaksanaan tarif selama 90 hari yang diumum Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi kelegaan sementara kepada Malaysia.
Malaysia adalah antara 75 negara yang diberi penangguhan itu oleh pentadbiran Trump.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penangguhan itu memberikan kelegaan sementara kepada Malaysia.
“Malaysia terbabit (dalam penangguhan), melegakan sebentar,” katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Putrajaya pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia antara negara yang terbabit dalam penangguhan pelaksanaan tarif baharu AS.
Dalam langkah terbaharunya, Trump mengumumkan pengurangan kadar tarif timbal balas ke atas import daripada kebanyakan rakan dagang AS kepada 10 peratus selama 90 hari untuk memberi ruang kepada rundingan.
Presiden AS itu membuat pengumuman berkenaan beberapa jam selepas barangan dari hampir 90 negara dikenakan tarif timbal balik yang lebih ketat oleh negara Uncle Sam itu.
Bagaimanapun, Trump mengenakan lebih banyak cukai ke atas China dalam apa yang kini menjadi konfrontasi berskala penuh antara dua ekonomi terbesar dunia.
Presiden AS itu menaikkan tarif yang dikenakan ke atas import dari China kepada 125 peratus berkuat kuasa serta-merta.
Terdahulu, Anwar tiba di pekarangan Menara PETRA pada jam 1 tengah hari dan disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yussof, lapor BH.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam menikmati juadah Aidilfitri serta beramah mesra dengan warga PETRA sebelum meninggalkan majlis.