KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan menyenaraikan calon Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang lebih awal, ini sebagai persediaan mencari pemimpin yang tepat dalam mendapat sokongan rakyat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon-calon terbabit akan dikenal pasti oleh pengerusi perhubungan Umno negeri, diberikan latihan dan dipantau sebelum diangkat sebagai calon pada PRU16.
“Kita sudah menubuhkan ‘sekolah politik’ di bawah biro latihan dan perkaderan Umno Malaysia dan kita akan melatih bakal calon-calon yang kita telah kenal pasti yang mana di situ mereka akan dilatih dengan beberapa teori dan amali kepemimpinan.
“Kita akan menilai prestasi mereka sewaktu mereka menghadiri ‘sekolah politik’ berkenaan dan kita akan bawa senarai mereka itu ke bawah untuk kita lihat siapakah yang boleh memenangi sesuatu kerusi itu dan penerimaan pengundi serta juga bagaimana seseorang itu disukai pengundi,” katanya pada Konvensyen BN Pahang sempena sambutan ulang tahun Jubli Emas ke-50 BN di Dewan Tun Abdul Razak di Temerloh, pada Ahad.
Menurut Zahid, penubuhan ‘sekolah politik’ diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno dua bulan lalu dan penyusunan program sudah dilakukan dan akan diperincikan dalam masa terdekat.
Beliau berharap pendekatan baharu itu akan lakukan di seluruh negara dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan mengetuai bersama-sama kepimpinan sekolah politik yang akan mengadakan kursus atau latihan itu di Institut Latihan dan Memperkasa Ummah (ILMU) di Janda Baik, Bentong.
Presiden Umno itu juga memaklumkan, pemilihan calon yang dibuat pihaknya tidak akan mengenepikan golongan muda sebagai pemimpin pelapis yang menjadi kesinambungan kepimpinan negara.
Bagaimanapun Zahid berkata, kombinasi antara pemimpin lama, baharu, pemuda dan wanita seperti yang ada di Pahang dilihat contoh terbaik dalam memastikan kestabilan politik dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Sementara itu, beliau menaruh keyakinan BN akan bangkit semula dan Pahang terus menjadi kubu kuat parti berkenaan dalam pilihan raya umum akan datang, lapor Utusan di Pahang.
Dalam pada itu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tidak timbul sebarang isu dalam pelantikan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai penasihat pelaburan China kerana pelantikan berdasarkan perbincangan dan persefahaman antara beliau dengan Ka Siong.
Selain itu katanya, ia penghargaan kepada pemimpin tertinggi MCA tersebut yang boleh membawa pelabur dari China ke negara ini.
Mengulas kes perarakan mengibarkan bendera China di Teluk Intan, Perak yang tular dalam media sosial baru-baru ini, Zahid menyerahkan perkara itu kepada pihak polis.
“Kita serahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk melakukan siasatan dan kita memberikan kepercayaan sepenuhnya hasil siasatan berkenaan,” ujarnya.