Institut Jantung Negara kini sedia berkembang lebih besar – Ezani

KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) kini bersedia untuk memperluaskan peranannya dalam menghadapi keperluan penjagaan kardiovaskular yang semakin meningkat, dengan fokus kepada pertumbuhan strategik, inovasi dalam rawatan jantung dan pembangunan fasiliti yang lebih besar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN Sdn Bhd yang baru dilantik, Profesor Datuk Seri Dr. Mohamed Ezani Md Taib, institut ini akan memperkukuh peranannya di peringkat nasional dan antarabangsa dengan menekankan teknologi terkini, kerjasama global, dan kecemerlangan klinikal.

“Keperluan penjagaan kardiovaskular semakin berkembang, dan IJN perlu berada di barisan hadapan untuk menangani cabaran ini. Tumpuan saya adalah untuk memastikan IJN bukan sahaja mengekalkan kecemerlangannya tetapi juga berkembang menjadi peneraju inovasi dalam rawatan jantung,” kata Mohamed Ezani

“Kami berhasrat untuk meneroka lebih banyak kerjasama antarabangsa dan memanfaatkan teknologi baru bagi meningkatkan hasil rawatan pesakit.”

Pembangunan fasiliti

Berucap dalam majlis makan tengahari bersama beberapa pemimpin organisasi media Malaysia, Mohamed Ezani turut memberitahu bahawa selain berhadapan cabaran hebat dengan pertumbuhan kesihatan swasta di dalam negara, IJN juga berhadapan saingan dengan penubuhan sayap swasta (private wing) di hospital-hospital kerajaan.

Dari segi pembangunan infra atau fasiliti bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan menggandakan jumlah pelanggan, IJN telah melabur dalam dalam pendigitalan hospital dan pembinaan bangunan baharu.

“Sebagai langkah mengembangkan IJN sebagai hospital pelbagai disiplin, IJN kini dalam proses membina bangunan baharu setinggi 11 tingkat yang akan dilengkapi teknologi canggih, klinik khusus tambahan, makmal jantung dan 120 katil pesakit. Bangunan ini dijadual pembukaan pada 2027,” tambah Mohamed Ezani.

Pelan pembesaran ini dikatakan akan melengkapkan usaha IJN menyertai inisiatif Flagship Medical Tourism Hospital Programme yang digerakkan kerajaan.

Selain pembinaan bangunan baru, IJN merancang untuk membina IJN Metropolis dan mengadakan kerjasama dengan hospital swasta di luar lembah Klang bagi membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan satelit di bahagian lain negara ini sebagai langkah meningkatkan akses pesakit kepada kepakaran IJN.

IJN juga yakin mereka boleh bersaing dengan pertumbuhan perkhidmatan kesihatan swasta lain berikutan kemampuan menawarkan kepakaran yang diakui dunia dengan harga yang lebih rendah dari kebanyakan pesaingnya.

Pelantikan Mohamed Ezani

Sementara itu, IJN dalam kenyataam media mereka yakin pelantikan Mohamed Ezani rasmi menerajuinya mulai 1 September lalu akan membawa nilai tambah besar kepada mereka berikutan latar belakangnya yang cemerlang dalam pembedahan jantung dan paru-paru serta pembangunan teknologi jantung mekanikal.

“Beliau pernah terlibat dalam pemindahan jantung dan paru-paru pertama IJN dan menyumbang kepada teknologi rawatan jantung mekanikal. Kepimpinannya dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukan IJN sebagai pusat kardiologi bertaraf dunia.

“Selain daripada aspek klinikal, Prof. Dr. Ezani turut memberi tumpuan kepada pertumbuhan operasi dan kecekapan pengurusan. Dengan lebih daripada 13 tahun pengalaman dalam Jawatankuasa Pengurusan IJN, beliau akan memastikan keseimbangan antara pertumbuhan kewangan dan inovasi penjagaan kesihatan bagi mencapai kejayaan jangka panjang. Penekanan kepada penjagaan berpusatkan pesakit juga menjadi teras utama dalam memastikan IJN terus berdaya saing dalam industri yang semakin berkembang ini.

“Beliau turut aktif dalam memperluas peranan IJN dalam pendidikan perubatan. Sebagai Pengarah Klinikal Pendidikan dan Latihan serta Profesor Adjung di Program Pembedahan Kardiotoraks IJN-UITM, Prof. Dr. Ezani komited untuk memajukan pendidikan pakar kardiotoraks di Malaysia.

“Dengan visi ini, IJN berada di landasan kukuh untuk menghadapi cabaran masa depan, memastikan ia terus menjadi institusi utama yang memainkan peranan penting dalam penjagaan kardiovaskular global dan seterusnya memberikan impak kepada kesihatan masyarakat.”

— Tamat —

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat