PAC Parlimen Malaysia teliti secara dekat prestasi operasi semasa di KLIA

Oleh Zihan Zari

SEPANG – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia telah mengadakan lawatan kerja bertujuan untuk meneliti secara dekat prestasi operasi semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini, baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata lawatan ini merupakan pelanjutan daripada siri prosiding komprehensif yang telah dimulakan oleh PAC sebelum ini berhubung Pengurusan Lapangan Terbang Awam di bawah Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan (MOT), dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurut beliau lawatan kerja ini, turut menilai secara fizikal perkembangan pelan transformasi serta pelaksanaan projek pembangunan aset berkeutamaan tinggi, okhususnya projek aerotrain dan sistem pengendalian bagasi (BHS).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata PAC memandang serius siri-siri gangguan perkhidmatan yang berlaku kebelakangan ini yang menjejaskan penyampaian perkhidmatan dan imej negara di mata pelancong dan pelabur asing.

“Langkah intervensi dan tinjauan ini amat penting bagi mendapatkan gambaran sebenar dan mengenal tindakan pembaikan oleh MAHB berhubung perkara ini.

“Sebelum tinjauan fizikal bermula, PAC telah diberikan taklimat terperinci oleh pihak pengurusan MAHB mengenai pelan hala tuju serta status kemajuan projek-projek berimpak tinggi terbabit, ”katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, bagi memastikan maklumat yang diterima adalah tepat, PAC dibawa meninjau sendiri tapak projek bagi melihat kemajuan kerja struktur kritikal seperti BHS yang sedang dilaksanakan di KLIA, selain meneliti penambahbaikan estetik terhadap facade dan rupa fizikal terminal berkenaan.

“Setiap pelan transformasi yang dirancang oleh MAHB mestilah diterjemahkan secara tuntas kepada peningkatan mutu perkhidmatan rantaian di lapangan terbang.

“Oleh yang demikian, jawatankuasa ini turut memberi fokus terhadap aspek pengurusan aliran penumpang,”ujarnya.

Ujarnya lagi, PAC telah memantau secara langsung urusan pengoperasian harian dan fasiliti-fasiliti yang baharu dan yang telah dinaik taraf, demi memastikan usaha meremajakan KLIA benar-benar mampu meningkatkan pengalaman dan kepuasan pelanggan secara optimum.

“PAC mengambil maklum bahawa inisiatif pemulihan dan agenda merejuvinasikan lapangan terbang negara ini bukan sahaja kritikal bagi meningkatkan keselesaan pengguna.

“Ia merupakan persediaan strategik dalam menyambut tetamu negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2027, ”tambahnya.

Tambahnya lagi, PAC kini dalam dalam fasa akhir memuktamadkan penyata berhubung isu ini dan lawatan kerja ini membantu jawatankuasa ini dalam menyediakan penyata yang lebih telus, komprehensif dan menyeluruh. Penyata berkenaan dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Sidang Mesyuarat Kedua tahun ini.

Delegasi PAC turut dianggotai oleh barisan Ex-Officio jawatankuasa yang terdiri daripada wakil MOF; Kementerian Ekonomi (KE); Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM); Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); dan Penasihat Undang-undang Parlimen yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC).-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat