ARAU – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis mengadakan Majlis Pelancaran Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Mengikut Kecerdasan Pelbagai.
Program ini yang disertai 358 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta 92 orang guru dan fasilitator merupakan salah satu inisiatif dibawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah di seluruh negara.
DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis telah mencemar duli ke majlis ini yang bertempat di Stesen KTM Arau, Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, program seperti ini perlu kerap dianjurkan bagi pelajar mencapai kecemerlangan luar dan dalam kelas perlu dilaksanakan bagi memastikan matlamat kecemerlangan pelajar tercapai.
“Program seperti ini dapat membantu pelajar untuk tidak terjebak dengan permasalahan sosial. Sesungguhnya murid-murid pada hari ini merupakan pewaris yang bakal mendukung impian dan harapan negeri dan juga negara satu hari nanti,” titah baginda.
Objektif lain bagi perlaksanaan program ini adalah untuk mengurangkan jurang perbezaan pencapaian sekolah-sekolah di bandar dan diluar bandar, serta faktorfaktor yang mempengaruhi prestasi murid seperti latar belakang sosioekonomi, kualititi pengajaran dan kemudahan sekolah.
Prihatin dalam meningkat sosio-ekonomi masyarakat melalui pendidikan, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani turut bersama-sama hadir ke Pelancaran Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Mengikut Kecerdasan Pelbagai ini.
Di dalam majlis yang sama, Syaiful Rizal dalam satu kenyataan memaklumkan YBR amat menyokong inisiatif pendidikan kepada semua lapisan masyarakat serta membantu memastikan murid-murid tanpa mengira latar belakang mempunyai peluang yang sama untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik yang mereka
ceburi.
“Diharapkan inisiatif ini dapat memberi impak positif melalui kaedah pembelajaran diluar bilik darjah dalam memberi peluang memupuk kemahiran sosial dan interaksi serta pengalaman di persekitaran yang baru”.
Tambah beliau lagi, “program ini turut menyasarkan kumpulan calon SPM 2024 di Negeri Perlis atau yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti termasuk bahan pembelajaran, kelas tambahan dan persekitaran yang kondusif untuk aktiviti pembelajaran.
Turut hadir dalam sesi ini adalah Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin dan Pengurus Jabatan Program YBR, Muhammad Khalil Kader Mydin.
Dengan penganjuran inisiatif seperti ini dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda dalam meningkat sosioekonomi melalui pendidikan serta mengurangkan perbezaan di antara sekolah di bandar dan luar bandar. -SUARATV