KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti wujud salah laku, penyelewengan atau pelanggaran prosedur dalam urusan pemindahan tiga ekor gajah Asia ke Jepun.
Menteri NRES Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu proses pemindahan tiga ekor gajah Asia dari Zoo Taiping, Perak ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun.
Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil bagi memelihara integriti institusi serta nama baik negara di peringkat antarabangsa.
“NRES menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang dalam setiap aspek pengurusan hidupan liar negara.
“Sehubungan itu, kementerian sedia memberikan kerjasama penuh dan menyeluruh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan ini berlangsung bagi memastikan proses siasatan dapat dilengkapkan secara menyeluruh dan telus,” katanya dalam kenyataan.
SPRM semalam memaklumkan, sedang melakukan siasatan prosedur dan proses kelulusan serta memorandum persefahaman (MoU) berkaitan program pemindahan tiga ekor gajah; Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Jepun.
SPRM sedang mendapatkan keterangan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Zoo Taiping.


