KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) semalam meneruskan kontroversi perbalahan dalaman yang belum menampakkan jalan perdamaian.
Walaupun mesyuarat membuat keputusan menerima parti pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin seperti mana diumumkan lebih awal oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, namun ia menjadi kontroversi apabila Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dikatakan memuat naik satu kenyataan media yang bercanggah dengan keputusan mesyuarat sebelum memadamnya.
Kenyataan awal itu antara lain mendakwa PN tidak akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Negeri Sembilan dan Melaka selain tidak membenarkan penggunaan lambang serta bendera gabungan tersebut dalam ketiga-tiga pilihan raya berkenaan.
Ia menguatkan spekulasi bahawa terdapat perancangan awal dalam kalangan kepimpinan tertentu PN untuk tidak bertanding, apatah lagi sebelum ini beberapa isyarat daripada pimpinan PAS dilihat cenderung ke arah pendirian tersebut.
Bagaimanapun, kehadiran Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat berkenaan dikatakan menggagalkan perancangan awal itu, lebih-lebih lagi Muhyiddin sebelum ini telah mengumumkan Bersatu akan bertanding di Johor menggunakan logo PN.
Ia berbeza dengan satu lagi kenyataan yang kemudian beredar apabila PN memaklumkan rundingan agihan kerusi bagi menghadapi PRN Johor akan dimuktamadkan melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi.
Perkara itu turut dibangkitkan penganalisis politik yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, yang mendedahkan kewujudan dua kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
“Ada dua kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi PN malam ini.
“Kedua-dua kenyataan ini bercanggah.
“Apa pun jangan terburu-buru buat andaian. Kita tunggu kenyataan Ayatollah. Baru muktamad,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kontroversi itu turut mendapat perhatian selepas pengguna Facebook, Abdullah Pak Lah MY, memuat naik semula tangkap layar yang mendakwa kenyataan awal berhubung keputusan PN tidak menyertai PRN pernah dimuat naik menerusi akaun Facebook Ahmad Samsuri.

Tangkap layar tersebut memaparkan hantaran akaun Ahmad Samsuri dengan kapsyen “Kenyataan Media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional tadi” bersama kenyataan bertajuk “PN Terima Anggota Baharu, Tetap Hala Tuju PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka”.
Kenyataan itu turut memaklumkan keputusan menggantung sementara Pengerusi serta Ahli Jawatankuasa Perhubungan PN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sehingga satu ketetapan baharu dibuat kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.
Perbezaan dua kenyataan tersebut mencetuskan persoalan sama ada keputusan awal untuk PN tidak menyertai PRN telah berubah selepas perbincangan akhir atau tidak mendapat persetujuan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.
Bagaimanapun, kedua-dua versi kenyataan mempunyai persamaan apabila mengesahkan kemasukan dua parti baharu dalam PN iaitu PEJUANG dan Parti Cinta Malaysia (PCM).
Setakat ini, belum ada penjelasan rasmi berhubung punca kewujudan dua kenyataan berbeza tersebut atau sama ada kenyataan awal itu merupakan draf sebelum keputusan akhir dimuktamadkan.


