KUALA LUMPUR – Malaysia dan Bangladesh akan memperkukuhkan kerjasama melalui mekanisme ASEAN bagi membantu mencari penyelesaian tuntas terhadap isu pelarian etnik Rohingya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu termasuk meneruskan libat urus dengan pihak berkuasa Myanmar.
“Kita turut bekerjasama dalam usaha menangani isu pelarian, khususnya etnik Rohingya di Bangladesh dan Malaysia.
“Melalui pejabat Menteri Luar dan mekanisme ASEAN, kita akan terus berunding dengan pihak berkuasa Myanmar bagi membantu menyelesaikan sebahagian isu terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman, sempena lawatan rasmi rakan sejawatnya itu ke Malaysia, lapor BH di Putrajaya pada Isnin.
Sementara itu, Tarique turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap nasib masyarakat Rohingya yang berlindung di Bangladesh.
Beliau berkata, Bangladesh menghargai sokongan berterusan Malaysia dalam usaha memastikan etnik Rohingya dapat pulang ke Myanmar.
“Saya menyatakan kebimbangan mendalam terhadap nasib masyarakat Rohingya yang berlindung di Bangladesh.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas sokongan berterusan bagi memastikan mereka dapat pulang ke Myanmar secara selamat, bermaruah dan berkekalan,” katanya.
Berhubung krisis di Asia Barat pula, Anwar menjelaskan Malaysia dan Bangladesh berpendirian semua kekejaman terhadap penduduk Gaza oleh rejim Zionis Israel perlu dihentikan.
“Mengenai isu global seperti Palestin, kekejaman yang sedang dilakukan terhadap penduduk Gaza oleh rejim Zionis Israel, serta sokongan terhadap keamanan yang berkekalan antara negara Teluk dan Iran, pendirian kita adalah sehaluan.
“Kita akan terus bekerjasama dengan semua rakan antarabangsa bagi memastikan keamanan dapat dicapai,” katanya.
Tarique pula menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta organisasi antarabangsa lain berhubung isu berkenaan.



