KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Putrajaya sebulat suara membenarkan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad terhadap sabitan dan hukumannya bagi tuduhan rasuah RM3 juta berkait pembelian sebuah hotel di Kuching, 10 tahun lalu.
Hakim, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang mengetuai panel tiga hakim berkata, Mahkamah Tinggi melakukan kekhilafan yang boleh dirayu dan memerlukan campur tangan.
Berikutan itu, katanya, mahkamah membenarkan rayuan berkenaan dan membatalkan hukumannya.
Turut bersidang bersamanya, Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah, lapor FMT.
Pada 2021, Hakim, Datuk Nazlan Ghazali yang kini di Mahkamah Rayuan, mendapati Isa bersalah atas sembilan tuduhan rasuah melibatkan RM3.09 juta pada 2021, dan menjatuhi hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.4 juta.
Merujuk kronologi kes ini, pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Isa, bersalah atas semua pertuduhan rasuah membabitkan RM3.09 juta dalam pembelian Merdeka Palace Hotel& Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 49 Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.
Hakim Mahkamah Tinggi, Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM15.45 juta, atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda itu, ke atas Isa.
Bagaimanapun, Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun apabila mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak.
Isa, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, telah memfailkan notis rayuan pada 4 Feb 2021.
Beliau bebas dengan jaminan sebanyak RM1.5 juta dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.