KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan graduan asing institusi pengajian tinggi tempatan bekerja di negara ini disifatkan tidak adil kepada graduan tempatan.
Isham Jalil berkata, sekarang ini ramai graduan tempatan tidak ada kerja malah yang ada kerja pula gajinya rendah.
“Menteri MITI Tengku Zafrul ingin benarkan graduan asing bekerja di sektor teknologi tinggi di Malaysia.
“Dia kata, “Sekarang ini, mereka (graduan asing) tidak dibenarkan bekerja (di Malaysia). Mungkin kita boleh melihat kawasan yang tidak mencukupi rakyat Malaysia, terutamanya dalam perkhidmatan nilai tambah (seperti) sektor teknologi tinggi, kita boleh membenarkan pelajar antarabangsa bekerja di Malaysia untuk satu tempoh masa.”
“Pandangan saya, sekarang ini ramai graduan yang tidak ada kerja. Yang ada kerja pula gajinya rendah. Kini kamu mahu import graduan asing dan bayar mereka pula,” bidas bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu di Facebooknya pada Khamis.
Kata Isham, “jika kamu bayar gaji tinggi kepada graduan asing, ia tidak adil untuk graduan tempatan”.
“Jika kamu bayar gaji rendah pula kepada graduan asing ini, maka gaji graduan tempatan pun akan jadi lebih rendah lagi dan lebih ramai graduan tempatan akan menganggur, bawa Grab, Food Panda, atau hilang kerja.
“Jika tidak cukup graduan tempatan, tambah kemasukan dan latihan di universiti dalam sektor tersebut, untuk melatih graduan di universiti hanya perlu 3-4 tahun.
“Jika mahu cepat lagi, panggil anak-anak dan graduan-graduan Malaysia yang bekerja di luar negeri dan bincang insentif yang baik untuk mereka pulang bekerja di tanahair. Bukannya buka flood gate untuk graduan dan pekerja asing dalam sektor nilai tinggi pula masuk kerja di sini.
“Kamu ingin jaga graduan tempatan atau graduan asing? Kalau macam ini pemikiran kamu buat dasar, hancurlah negara tidak lama lagi,” nasihat Isham.
Sebelum ini, MITI mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan graduan asing institusi pengajian tinggi tempatan bekerja di negara ini.
Menurut menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, “sekarang ini, mereka tidak dibenarkan bekerja (di Malaysia).
“Mungkin kita boleh melihat kawasan yang tidak mencukupi rakyat Malaysia, terutamanya dalam perkhidmatan nilai tambah (seperti) sektor teknologi tinggi, kita boleh membenarkan pelajar antarabangsa bekerja di Malaysia untuk satu tempoh masa”, lapor The Edge.
Kata beliau, perancangan ini adalah bagi memenuhi keperluan sektor-sektor yang mengalami masalah kekurangan pekerja tempatan. Mengambil contoh sektor elektrik dan elektronik (E&E), beliau turut menyatakan sektor elektrik dan elektronik (E&E) memerlukan 50,000 jurutera, sebaliknya Malaysia hanya mengeluarkan 5,000 graduan jurutera setahun (tidak termasuk graduan asing di Malaysia dan rakyat Malaysia yang belajar di luar negara).