Jutaan rakyat kecewa jika benar Lembaga Pengampunan beri Najib ‘diskaun’ kepada tahanan rumah – Mukhriz

KUALA LUMPUR – Pejuang terkejut dan amat kecewa dengan berita yang dilaporkan media Singapura mengenai keputusan Lembaga Pengampunan meringankan hukuman Datuk Seri Najib Razak daripada dipenjarakan 12 tahun kepada 6 tahun.

Ini termasuk denda dikurangkan dari RM210 juta kepada suatu jumlah yang tidak dinyatakan.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan, keputusan ini menghampakan jutaan rakyat Malaysia yang telah nekad untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Najib pada tahun 2018 akibat penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang dilakukannya.

“Setelah Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad memenangi Pilihan Raya Umum ke-14(PRU-14) pada tahun 2018 dan mengambil alih tampuk kepimpinan negara , siasatan telah dimulakan bagi mencari bukti kesalahan Najib dan sekutunya.

“Bahkan rakyat menyaksikan harta bernilai ratusan juta Ringgit dirampas dari kediaman Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Siasatan menyeluruh telah mendapati bahawa wujud syak yang berasas untuk mendakwa Najib, dan beliau dituduh kesalahan dan dihadapkan untuk perbicaraan mahkamah.

“Setelah hampir dua tahun perbicaraan berlangsung, akhirnya Najib didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara serta dikenakan denda RM210 juta. Rakyat melepaskan nafas lega bahawa episod ngeri salahguna kuasa dan rasuah yang disyaki keatas Perdana Menteri ketika itu sudah mencapai penghujungnya dengan Najib didapati bersalah dan dihukum melalui proses penghakiman yang telus,” ujar Mukhriz.

Pun begitu, bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, kelegaan itu tidak bermaksud rakyat tidak terus dibelenggu dengan masalah yang ditinggalkan oleh Najib akibat angkaranya itu.

Kata Mukhriz lagi, negara masih dibebankan hutang yang mencecah RM1.5 trillion yang mana sebahagiannya ialah dana yang dibawa lari melalui 1MDB yang diwujudkan oleh Najib.

Malah ujar beliau, kes perbicaraan Najib melibatkan 1MDB masih berjalan secara berasingan daripada kes SRC yang kesudahannya mendapati Najib bersalah itu.

“Selama perbicaraan berjalan, tiada langsung kedengaran pengakuan daripada Najib bahawa beliau bersalah dan menginsafi akan kesalahan yang telah dilakukannya, jauh sekali memohon maaf kepada seluruh Rakyat Malaysia.

“Oleh itu, bagaimana boleh terfikir oleh Lembaga Pengampunan (atas syor kerajaan) untuk meringankan hukuman ke atas Najib?

“Rakyat terpaksa menanggung beban daripada jenayah Najib menyeleweng dana awam. Maka wakil kerajaan dalam Lembaga Pengampunan mahupun kerajaan sendiri tidak boleh berdiam diri meletakkan semuanya beban penjelasan kepada Yang di-Pertuan Agong mahupun Lembaga Pengampunan,” katanya.

Justeru gesa Mukhriz, rakyat ingin tahu apa pendirian Kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu pengampunan Najib.

“Kini terdengar pula khabar angin bahawa hukuman penjara ke atas Najib itu akan diringankan lagi kepada tahanan di rumah.

“Kalau benar, maka dunia akan ketawakan sistem perundangan negara.

“Ke mana perginya janji Anwar untuk memerangi rasuah? Adakah dengan melancarkan siasatan baru ke atas pemimpin-pemimpin politik lama yang dianggap musuhnya, sambil melepaskan pemimpin yang sudah dijatuh hukum oleh mahkamah? Tidakkah ini hipokrisi namanya?

“Tidakkah ini akan melihatkan bahawa tindakan Anwar itu semua didorong kepentingan politik semata-mata bila diambil kira bahawa sebahagian daripada Kerajaan Madani terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen BN?

“Malah Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik Timbalan Perdana Menteri, dan siasatan dan perbicaraan keatasnya digugurkan,” katanya.

Bidas Mukhriz, kini menyerlah sikap Anwar.

“Beliau seorang oportunis yang sanggup membelakangkan prinsip semata-mata untuk kuasa.

“Keluhan rakyat berkenaan peningkatan kos sara hidup tidak langsung diendahkan, sebaliknya tumpuan diberikan kepada tindakan-tindakan politik songsang untuk menjamin kelangsungan kuasanya.

“Rakyat berhak mempersoal perkara-perkara berkaitan pengampunan ini. Rakyat harus menolak Kerajaan Anwar Ibrahim ini,” gesa Mukhriz.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat