KUALA LUMPUR – Seorang saksi yang menjalankan analisis jejak wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini mengesahkan sejumlah £9.45 juta milik syarikat pelaburan strategik negara itu dipindah masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Penganalisis Pasukan Petugas Khas 1MDB, Adam Ariff Mohd Roslan, 29, mengesahkan kemasukan wang itu melalui laporan jejak wang berkenaan yang dibacakan di Mahkamah Tinggi ketika memberikan keterangan pada sesi pemeriksaan utama.
Menurut Adam Ariff yang juga saksi pendakwaan ke-47, wang itu dipindah masuk daripada dua firma samaran asing, Blackrock Commodities (Global) Ltd dan Vista Equity International Partners Limited yang dikawal oleh Eric Tan Kim Loong dan dikatakan sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.
Saksi itu yang membacakan pernyataan saksinya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, berkata wang £9.45 juta terbabit didepositkan ke dalam akaun AmPrivate Banking – 1MY milik Najib dengan nombor akaun berakhir 880.
Katanya, Blackrock memindahkan £750,000 juta (RM4,093,500 pada kadar pertukaran ketika itu) pada 19 Jun 2014, manakala, Vista Equity memindahkan £8,706,021.92 juta (RM45,825,918.13 pada kadar pertukaran ketika itu) ke dalam akaun yang sama melalui lima transaksi.
Dana berjumlah £9.45 juta itu berasal daripada 1MDB melalui anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Ltd (1MEHL) yang memperoleh dua pinjaman berjumlah AS$1.225 bilion daripada Deutsche Bank Singapore, lapor BH pada Khamis.
Terdahulu, saksi itu berkata, pada hari sama Blackrock menerima AS$1.89 juta daripada Affinity Equity, Blackrock memindahkan £750,000 (RM4,093,500.00) ke dalam akaun Najib di mana penyata dan rekod akaun menunjukkan ia dikreditkan pada 23 Jun 2014.
Menurut Adam Ariff, baki terakhir dalam akaun bekas perdana menteri itu berjumlah RM100,000 sebelum menerima wang berkenaan.
Beliau turut mengesahkan pelbagai dokumen yang melengkapkan pinjaman pertama yang dikeluarkan kepada 1MDB Energy Holdings Limited (1MEHL) berjumlah kira-kira AS$240 juta.
Keterangan Adam Ariff itu membabitkan analisis terhadap jejak wang dalam dua akaun bank Najib bagi fasa keempat iaitu fasa ‘Options Buyback’ pada 23 Jun 2014, iaitu dana RM4.093 juta dikreditkan ke AmPrivate Banking – 1MY daripada akaun DBS Bank, Singapura atas nama Blackrock yang dikesan adalah hasil pinjaman AS$250 juta daripada 1MDB Energy Holdings Limited (1MEHL).
Ia juga membabitkan transaksi antara 23 Oktober dan 19 Disember 2014, iaitu berjumlahRM45.837 juta yang dikreditkan ke akaun sama daripada akaun Amicorp Bank , Barbados atas nama Vista Equity yang sebahagiannya boleh dikesan adalah hasil pinjaman AS$975 juta daripada 1MEHL pada 2014.
Adam Ariff memberikan keterangan terhadap Najib, 70, yang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya ketika itu untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
DPerbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 9 Oktober ini.