KUALA LUMPUR – Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendesak agar Jabatan Peguam Negara (AGC) lebih “transparent” dalam menjawab persoalan-persoalan yang dilontar oleh rakyat bagi menjaga kredibiliti institusi Peguam Negara.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Nurainie Haziqah Shafi’i menegaskan, institusi perundangan negara ini akan terkesan kerana kes ini melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan MUDA sama sekali tidak akan berdiam diri.
“Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara berkaitan keputusan mereka untuk tidak meneruskan pertuduhan ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ianya dilihat menimbulkan lebih banyak persoalan daripada pencerahan.
“Kenyataan yang mengatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan kukuh dan telah diterima oleh mahkamah dilihat sangat mengelirukan.
“Perlu diingatkan bahawa, kuasa pendakwaan adalah di bawah bidang kuasa pihak pendakwaan dan mahkamah sedia maklum kuasa
tersebut dan memberi perintah seperti permohonan yang dibuat oleh pendakwaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Selain itu, kata beliau, Jabatan Peguam Negara mesti mengambil tanggungjawab penuh terhadap kenyataan yang dibuat
dan bukan seolah-olah menunding jari kepada mahkamah kerana membenarkan keputusan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.
“Keduanya, sekiranya alasan yang dikemukakan oleh pendakwa raya itu dikatakan kukuh atau ‘cogent’ adakah mereka mengatakan bahawa kes yang dikemukakan oleh Datuk Raja Rozela Raja Toran (Timbalan Pendakwa Raya sebelum ini) berlandaskan hujah yang lemah, tidak meyakinkan dan cacat cela?
“Adakah Raja Rozela dan Jabatan Peguam Negara gagal dalam melaksanakan tugas mereka sebelum ini, terutamanya apabila sudah ada prima facie dibuktikan dalam kes ini? soalnya lagi.
Sementara itu katanya, perkataan ‘cogent’ yang digunakan dalam kenyataan ringkas Jabatan Peguam Negara membawa maksud jelas, logik dan meyakinkan.
“Malangnya kenyataan yang dibuat adalah bertentangan dengan perkataan yang digunakan,” katanya.